Isnin, 20 Disember 2010

Dating eratkan hubungan

SUDAH berapa lama anda dan pasangan tidak meluangkan masa berdua-duaan pada hujung minggu? Kenapa sebelum kahwin kita berusaha untuk bersiar-siar bersama-sama tetapi selepas kahwin memberikan pelbagai alasan?

Jadi, apa salahnya pada hujung minggu, anda dan pasangan keluar berdua-duaan.

Selain menyeimbangkan masa mahupun mengembalikan nostalgia masa lalu, keluar dating dengan pasangan dapat memberikan ruang dan masa berbual bersama, menyelami hati masing-masing dan memberikan sedikit rasa kemesraan.

Tidak semestinya keluar dating ini memerlukan duit poket banyak, memadailah dengan mengunjungi tempat yang berpatutan dengan bajet anda.

Tapi sebelum keluar pastikan anak-anak diurus dengan sebaiknya atau mendapatkan penjaga untuk mereka.

Aktiviti ketika berdating

Makan bersama

Tidak kisahlah anda hendak makan waktu apa, sarapan, tengah hari, petang mahupun malam.

Kalau makan malam pastinya ia makan di bawah sinaran cahaya , romantiknya.

Bermain boling atau ke taman bunga

Bagi yang tidak pandai bermain boling, saat inilah pasangannya boleh memberi tunjuk ajar. Cubalah, pastinya pegangan-pegangan sayang daripada pasangan anda itu menjadi.

Ambil gambar kenangan

Sediakan kamera untuk merakam gambar kenangan anda berdua. Gambar ini akan meninggalkan kenangan dengan pasangan ketika bersama.

Menonton wayang

Juga satu kelebihan bagi mereka yang inginkan perhubungan yang hangat. Mungkin boleh menonton cerita yang agak romantik. Bukan cerita itu yang penting tetapi saat bersama itu yang mustahak.

Panduan ketika berdating

Tampil dengan perubahan

Biarpun tidak memerlukan pakaian yang mahal dan terdedah, penampilan tidak perlu terlalu over. Cukup sekadar dilihat oleh pasangan anda sesuatu yang baru dan menyenangkan hati. Pakailah sedikit mekap untuk penyeri sekiranya anda di rumah kelihatan kusut-masai.

Berpegangan tangan

Apa yang nak dimalukan untuk berpegangan tangan. Pada waktu ini semua orang akan melihat betapa intimnya anda dengan pasangan.

Jangan jadi bisu

Pastikan sepanjang bersama pasangan, banyak perkara dibincangkan. Bukanlah perkara yang terlalu berat untuk difikirkan tetapi topik yang menjadikan saat anda bersama itu indah.

Selasa, 7 Disember 2010

FBI keluar amaran untuk patung Barbie berkamera video


BARBIE VIDEO GIRL: Kamera video kecil yang diselindungi dalam satu loket di dadanya dikatakan boleh disalah guna untuk menghasilkan pornografi kanak-kanak, menyebabkan FBI mengeluarkan 'amaran jenayah siber' untuknya. -- Foto REUTERS

LOS ANGELES (Amerika Syarikat): Biro Siasatan Federal (FBI) mengeluarkan 'amaran jenayah siber' untuk patung baru Barbie yang dilengkapi kamera video kecil tersembunyi di bahagian dadanya.

FBI berkata mainan itu boleh disalah guna untuk menghasilkan pornografi kanak- kanak.

Laporan yang dikeluarkan pejabat FBI Sacramento pada 30 November lalu itu memberi amaran bahawa kamera patung mainan tersebut boleh merakam video sehingga 30 minit yang boleh dimuat turun.

Amaran itu mendapat liputan media selepas dihantar kepada beberapa organisasi berita secara tidak sengaja.

Seorang jurucakap wanita FBI cuba mengawal keadaan dengan menyatakan laporan itu adalah untuk kegunaan penguat kuasa undang- undang.

'Tiada laporan mengenai insiden patung mainan ini digunakan untuk perkara lain selain tujuan asalnya.

'Sebagai penjelasan, tujuan amaran itu adalah untuk memastikan agensi penguat kuasa sedar bahawa patung mainan itu, sama seperti peralatan dengan keupayaan merakam video, boleh mengandungi bukti dan tidak seharusnya diabaikan ketika sesuatu pemeriksaan,' kata jurucakap wanita itu, yang berpangkalan di Washington, dalam satu kenyataan.

Patung Barbie Video Girl buatan Mattel Inc yang mula dipasarkan pada Julai lalu pada harga AS$49.99 ($65.23) itu dilengkapi kamera video di dadanya yang diselindungi dalam satu loket.

Rakaman kamera video itu boleh ditonton pada layar LCD pada bahagian belakang patung tersebut atau dimuat turun ke komputer.

Amaran FBI itu menyatakan tiada tanda-tanda rakaman video tersebut boleh disalurkan terus ke Internet. -- Reuters

Rabu, 1 Disember 2010

Facebook rosak rumah tangga

BANYAK MUDARAT...kajian menunjukkan, sesetengah pengguna laman sesawang sosial berbual mengenai seks dengan kenalan tidak sepatutnya.

LOS ANGELES: Jika dulu perceraian sering berlaku akibat kesan gincu di baju suami atau pesanan ringkas dalam telefon bimbit, kajian terbaru menunjukkan masalah itu kini disumbangkan oleh laman sesawang sosial seperti Facebook.

Berdasarkan kajian Akademi Peguam Perkahwinan Amerika itu, satu daripada lima perceraian di negara berkenaan membabitkan laman sesawang sosial.

Kira-kira 80 peratus peguam juga melaporkan jumlah ketara individu menggunakan media sosial sebagai bukti kecurangan pasangan masing-masing.

Antara bahan digunakan adalah mesej dan gambar menggoda di Facebook.

Kewujudan laman sesawang itu didapati membolehkan seseorang berhubung semula dengan bekas kekasih masing-masing selepas terpisah sekian lama.

Kajian itu menunjukkan, Facebook adalah penyumbang terbesar masalah rumah tangga dengan 66 peratus peguam mendakwa ia dikemukakan sebagai bukti tuntutan perceraian.

Penyumbang kedua terbesar adalah laman sesawang MySpace (15 peratus) dan diikuti Twitter (5 peratus).

Selebihnya adalah laman sesawang sosial lain.

Tahun lalu, sebuah firma guaman Britain mendakwa, 20 peratus petisyen perceraian di negara itu mengaitkan Facebook sebagai punca.

Pengarah Urusan Divorce-Online, Mark Keenan, berkata kebanyakan pengguna laman sesawang sosial menggunakan kemudahan itu untuk berbual mengenai seks dengan seseorang yang tidak sepatutnya.

Laman sesawang Friends Reunited yang dilancarkan untuk menghubungkan kenalan lama di zaman persekolahan pada 1999 turut memberi kesan terhadap rumah tangga ahlinya.

Baru-baru ini, bintang siri, Desperate Housewives, Eva Longoria, mengambil keputusan berpisah daripada pasangannya, Tony Parker, selepas pemain bola keranjang itu didakwa sering berhubungan dengan wanita lain melalui Facebook. - Agensi

Sejarah papan kekunci QWERTY


Telefon bimbit pintar hari ini kebanyakkannya dilengkapi dengan papan kekunci QWERTY sama pada yang terdapat di papan kekunci komputer.

Sebenarnya, panggilan QWERTY itu diperoleh daripada jujukan enam huruf pertama dalam barisan teratas susunan huruf pada papan kekunci.

Reka bentuk itu telah dipatenkan oleh seorang editor akhbar dari Amerika Syarikat, Milwaukee pada tahun 1874.

Papan QWERTY itu muncul buat kali pertama pada mesin taip di mana pada asalnya susunan huruf pada mesin itu mengikut urutan abjad.

Penciptaan QWERTY itu adalah bertujuan untuk memudahkan kerja-kerja menaip selain mengurangkan kesilapan.

Melihat dari sudut logik lain pula, menerusi QWERTY kebanyakkan perkataan Bahasa Inggeris boleh ditaip menggunakan tangan kiri sementara tangan kanan bebas untuk mengawal tetikus.