Sabtu, 30 April 2011

William dapat gelaran Duke of Cambridge

LONDON: Putera William diiktiraf sebagai Duke of Cambridge pada hari perkahwinannya, semalam oleh Ratu Elizabeth II dan Kate Middleton pula mendapat gelaran Duchess of Cambridge sebaik mereka berkahwin, kata sumber Istana Buckingham.


“Ratu Elizabeth hari ini (semalam) mengurniakan gelaran duke kepada Putera William. Gelarannya adalah Duke of Cambridge, Earl of Strathearn dan Baron Carrickfergus,” kata sumber istana. “Putera William menjadi Duke of Cambridge dan Catherine Middleton, Duchess of Cambridge,” katanya lagi.

WILLIAM menyarungkan cincin perkahwinan kepada Kate di hadapan Ketua Biskop pada upacara perkahwinan mereka di Westminster Abbey, semalam.

Putera William mengahwini Kate Middleton dalam suasana gilang-gemilang di Gereja Westminster Abbey di London, semalam, dengan jutaan rakyat jelata dan penonton televisyen di seluruh dunia menyaksikan acara perkahwinan diraja yang terbesar di Britain sejak tiga dekad lalu.

Kate memakai gaun pengantin satin putih gading yang kembang berjela dengan lengan panjang berenda dilengkapi vel jarang amat menawan ketika berdiri di altar bersama William, yang menduduki tangga kedua senarai pewaris takha di raja Britain.

“Saya setuju,” ucap bakal raja dan pemasiuri itu secara bergilir-gilir sebelum William menyarungkan cincin diperbuat daripada emas Wales pada jari Kate sebelum Ketua Biskop Canterbury, Rowan Williams mengumumkan mereka sebagai suami isteri. Majlis itu adalah upacara diraja yang amat gilang -gemilang sejak perkahwinan ibu William, Puteri Diana yang berkahwin dengan Putera Charles pada 1981 dan memberi kesempatan untuk keluarga diraja Britain memulihkan hubungan selepas perceraian Charles dan Diana.

Ketiadaan Diana yang mati dalam nahas kereta di Paris pada 1997 amat dirasai sepanjang majlis berlangsung dan muzik yang dimainkan pada hari perkahwinan 30 tahun lalu dan ketika majlis pengebumiannya di tempat yang sama dimainkan semula ketika majlis berlangsung, semalam.


Dua juta orang - satu pertiga penduduk dunia - didipercayai menonton majlis perkahwinan anak sulung Diana yang berkahwin dengan orang biasa, wanita yang berpacaran dengannya di Universiti St Andrews, Scotland sejak lapan tahun lalu. Sebaik beratus ribu orang mengibarkan Union Jack di London, Kate melambai ke arah mereka sejurus tiba di Abbey bersama bapanya, Michael dengan menaiki limosin Rolls-Royce. Dia mengambil masa empat minit untuk berjalan menuju ke altar yang dihiasi dengan pokok yang dibawa khas bagi menghidupkan suasana taman Inggeris.

William atau William Arthur Philip Louis - putera sulong Diana dan pewaris takhta kedua - tiba di Abbey 45 minit sebelum itu, diiringi adik dan juga pengiringnya Putera Harry. Selepas menjalani upacara perkahwinan pasangan pengantin baru itu menaiki kereta kuda dari Abbey menuju ke Istana Buckingham di mana mereka muncul di balkoni sambil berkucupan dengan disertai anggota keluarga diraja yang lain. - AFP

Selasa, 26 April 2011

Utamakan Bahasa Melayu!


Apakah kedudukan bahasa Melayu di negara ini semakin hari semakin terpinggir. Sebenarnya perkataan sedemikian sering berlaku dan tidak lagi memeranjatkan. Tetapi mengapakah hal yang demikian dibenarkan terus berlaku? Tidakkah Bahasa Melayu bahasa rasmi negara ini?.

Isnin, 25 April 2011

Piala Raja Sepanyol Rusak Dilanggar Bas

21 April 2011, MADRID: Piala bola sepak paling berprestij bagi kelab Sepanyol, Piala Raja Sepanyol, yang baru saja dimenangi pasukan Real Madrid terjatuh di depan bas pasukan itu apabila ia terlepas daripada genggaman pemain dan difahamkan rosak teruk.

Pemain pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos, yang mengangkat trofi seberat 15 kilogram itu di atas kepalanya ketika berada di dalam bas tanpa bumbung, terlepas piala berkenaan sebelum ia jatuh di depan bas yang membawa pasukan terbabit.

Bagaimanapun, ia gagal diselamatkan apabila bas terbabit melanggar piala berkenaan sebelum sempat memberhentikan kenderaan itu.


Menurut laporan berita radio Cadena Ser, petugas perkhidmatan kecemasan memungut sekurang-kurangnya 10 bahagian piala yang sudah pecah. - AFP

Jumaat, 1 April 2011

Pencerobohan Facebook

Sering kedengaran berlakunya pencerobohan terhadap akaun-akaun laman web sosial Facebook. Bagaimanakah untuk menggunakannya secara selamat?
Dewasa ini, penggunaan laman web sosial Facebook menjadi satu budaya penting dalam kehidupan seharian.

Ia bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan peribadi tetapi digunakan sebagai satu alat teknologi maklumat untuk komunikasi antara pelanggan-pelanggan dengan agensi-agensi jualan, rakyat dengan pemerintah, pelajar-pelajar dengan pensyarah dan lain-lain.

Capaiannya menerusi Internet juga tidak terbatas kepada penggunaan komputer peribadi yang mempunyai sambungan talian tetap.

Malah, dengan munculnya alat-alat komunikasi mudah alih berkuasa tinggi dengan harga yang murah seperti komputer tablet, komputer riba, netbook dan telefon pintar berupaya mencapai laman web Facebook menerusi talian Internet tanpa wayar.

Masa, alat dan tempat bukan lagi menjadi kekangan utama untuk mencapainya.

Oleh itu, laman sosial Facebook ini boleh dicapai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

Malah, ada kedai-kedai atau pihak-pihak tertentu yang menyediakan kemudahan capaian Internet tanpa wayar ini secara percuma menerusi teknologi Wifi.

Capaian Internet tanpa wayar ini sebenarnya mengundang sebahagian besar masalah pencerobohan ke atas akaun-akaun di laman web Facebook.

Ini kerana data-data atau maklumat ‘berterbangan’ di udara dan sesiapa sahaja berupaya mengambilnya termasuklah data-data yang penting seperti login dan kata laluan.

Tambahan pula program-program komputer untuk tujuan pencerobohan ini agak mudah diperoleh di Internet dan mudah digunakan.

Dengan itu, berhati-hati dan berpada-padalah ketika melayari Internet menerusi capaian tanpa wayar ini.

Antara langkah-langkah awal yang boleh di ambil untuk menggunakan laman web sosial Facebook ini dengan selamat ialah menerusi konfigurasi keselamatan dan privasi yang baik pada akaun Facebook tersebut.

Apabila kita mencapai laman web sosial Facebook menerusi Internet sama ada menerusi teknologi berwayar atau pun tidak berwayar, sambungan terhadap laman web tersebut tidak dienkrip.

Ini bermaksud, sesiapa sahaja yang berupaya berada di kawasan sambungan tersebut akan boleh memperolehi apa sahaja maklumat atau data yang melalui sambungan itu secara jelas termasuk login dan kata laluan.

Bagi mengatasi masalah sambungan yang tidak dienkrip ini, pihak Facebook telah menyediakan fungsi keselamatan untuk kita mengenkrip sambungan capaian ke laman web Facebook menerusi Internet.

Dengan ini, sesiapa boleh atau berupaya mendapatkan data-data atau maklumat yang melalui sambungan tersebut tetapi data-data dan maklumat tersebut tidak dalam bentuk yang nyata.

Data atau maklumat tersebut akan disembunyikan dalam bentuk yang rahsia.

Penceroboh atau penggodam perlu meemecahkan kod terhadap proses enkripsi yang dibuat terhadap data atau maklumat itu untuk mendapatkannya.

Dalam Facebook, anda perlu pergi ke ruangan konfigurasinya.

Seterusnya memilih fungsi Account Security dan tandakan pada ruangan Secure Browsing (https).

Seterusnya, jangan lupa untuk menyimpan konfigurasi yang telah anda buat dengan mengklik pada butang Save.

Fungsi Secure Browsing ini baru sahaja diperkenalkan oleh pihak Facebook.

Jadi, pastikan dikemas kini terlebih dahulu akaun Facebook tersebut dengan kemas kini yang dianjurkan oleh pihak Facebook.

Sekiranya fungsi tersebut masih belum ada dalam akaun kita, sila maklum atau mohon kepada pihak Facebook atau nantikan sahaja kemas kininya oleh pihak Facebook.

Hasil daripada konfigurasi tersebut, melayari laman web Facebook menerusi Internet akan dienkrip seperti mana melayari laman-laman perbankan Internet yang menggunakan protokol keselamatan rangkaian https.

Selain daripada itu, pastikan juga konfigurasi untuk fungsi Privacy bagi akaun Facebook adalah baik. Pastikan dan tentukan mana maklumat yang perlu dikongsi oleh siapa sahaja dalam akaun Facebook anda. Pihak Facebook ada menyediakan cadangan konfigurasi Privacy dalam perkongsian maklumat seperti maklumat peribadi, maklumat rakan, gambar dan lain-lain.

Anda boleh tentukan sama ada anda mahu berkongsi maklumat dengan sesiapa sahaja, rakan sahaja, rakan kepada rakan sahaja atau menerima cadangan pihak Facebook.

Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan konfigurasi tersebut, boleh memilih pilihan Custom. Di sini, anda boleh membuat konfigurasi sendiri untuk perkongsian maklumat dan boleh menetapkan hanya untuk tatapan atau capaian diri sendiri.

Konfigurasi pada bahagian Privacy ini penting bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggung jawab memanipulasikan maklumat yang dikongsikan atau dijadikan panduan untuk melakukan penggodaman atau pencerobohan terhadap akaun Facebook seseorang.

Sekiranya ada mana-mana akaun rakan Facebook yang disangsikan tujuannya, bolehlah kita blok akaun tersebut dalam fungsi Block Users.

Kadangkala kita melihat remeh-temeh berkenaan dengan fungsi Security dan Privacy dalam akaun Facebook ini.

Namun begitu, sekiranya akaun Facebook mendapat masalah seperti digodam dan sebagainya, barulah kelam kabut untuk mencari jalan penyelesaian.

Jadi, sebelum perkara yang lebih parah berlaku, marilah kita ambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan konfigurasi yang betul dan selamat pada akaun Facebook.

Selain daripada itu, berhati-hatilah dengan e-mel palsu yang meminta maklumat dan kata laluan bagi akaun Facebook anda.

Ia merupakan satu penipuan yang sepatutnya kita sedar akan perkara tersebut dengan menyemak kembali sambungan URL yang disediakan, e-mel tersebut dihantar secara tiba-tiba tanpa ada keperluan atau anda memintanya, semak penghantar e-mel tersebut dan lain-lain.

Ia merupakan satu teknik penggodaman yang sangat mudah tanpa perlu melakukan perkara-perkara teknikal kerana pemilik akaun Facebook sendiri yang memberi maklumat-maklumat penting tersebut. Layari Internet dan laman web Facebook anda dengan selamat dan berhati-hati.