Jumaat, 15 Julai 2011

Reds sarat dengan sejarah gemilang


WALAUPUN sudah 21 tahun kemarau kejuaraan Liga Perdana, namun Liverpool tetap diangkat sebagai gergasi bola sepak Eropah dan England, malah kesetiaan penyokong Reds tidak pernah berkurangan dengan slogan You'll Never Walk Alone menjadi simbol penyatuan.

Skuad serba merah ini bukan saja sarat dengan sejarah kegemilangan yang panjang, malah asal usul penubuhannya juga unik. Mereka pernah bermula dari kosong pada tahun pertama ditubuhkan, tidak memiliki cukup pemain dan terpaksa mencari hingga ke Scotland untuk melengkapkan pasukan. Namun, Reds berjaya mengharungi segala kepayahan sebelum akhirnya muncul gergasi Eropah.

Sejarah Liverpool bermula pada 15 Mac, 1892 apabila John Houlding iaitu pemilik padang Anfield menubuhkan pasukan bola sepak sendiri selepas bertelingkah mengenai kadar sewa dengan pemilik kelab Everton FC yang sebelum itu menyewa Anfield daripadanya.

Selepas lapan tahun menjadikan Anfield sebagai gelanggang mereka, Everton bertindak meninggalkan padang yang penuh nostalgia itu kerana membantah keputusan Houlding menaikkan kadar sewa. Ia menyebabkan Houlding ditinggalkan bersama tanah kosong serta tiga orang pemain.

Biarpun ditinggalkan tanpa pasukan dan pemain, dengan bantuan William Barclay (pengurus-setiausaha) dan John McKenna (pengurus-jurulatih), mereka berjaya membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Pada musim pertama sebagai pasukan baru, Liverpool berjaya muncul juara Liga Lancashire, sebelum menyertai Liga Divisyen Dua pada musim 1893-94, di mana mereka berjaya merangkul kejuaraan untuk dinaikkan ke divisyen satu. Mereka akhirnya dijulang sebagai juara liga utama pada 1901 dan sekali lagi pada 1906.

Sehingga hari ini, Liverpool sudah memiliki 18 kejuaraan Liga Perdana, lima kali gelaran Eropah (kelab England paling berjaya), selain tujuh gelaran Piala FA, tujuh Piala Liga dan tiga Piala Di Antara Juara UEFA.

Sepanjang proses memahat kegemilangan, ramai bintang yang telah dilahirkan Reds dan ramai pengurus legenda terlibat. Bill Shankly (1959-1974), Kenny Dalglish (1985-1991) dan Bob Paisley (1974-1983) dikenang sebagai pengurus paling berkaliber Reds, malah Dalglish juga disanjung sebagai penyerang tersohor.

Kehebatan Dalglish baik sebagai penggempur mahupun perencana telah membawa gelaran "King" Kenny buat warga Scotland itu, jolokan istimewa yang diberikan oleh peminat Reds.