
Selasa, 25 Januari 2011
Isnin, 17 Januari 2011
Makkah seperti Las Vegas?
Setiap tahun dianggarkan lebih empat juta umat Islam sedunia berkumpul di Makkah. Suasana penuh sesak dengan manusia berhimpit-himpit, bak sardin disumbat dalam tin, ketika melakukan tawaf di keliling Kaabah, sai dan melontar jamrah. Setiap tahun umat Islam berdoa agar tidak akan berulang insiden yang meragut nyawa ratusan jemaah.
Memang satu tugas yang sukar untuk menguruskan jutaan jemaah yang perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Justeru, segala usaha untuk memperbaiki prasarana di sana untuk kemudahan jemaah amat dialu-alukan. Usaha renovasi dan perluasan besar-besaran memang giat dijalankan di kawasan sekitar Masjidil Haram dan seluruh lokasi ibadah haji lainnya sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, pada masa yang sama terdapat juga suara-suara yang meluahkan rasa tidak senang apabila pembangunan mengubah profil kota suci itu sehingga mereka turut melihat Starbucks, Cartier dan Tiff any, H&M dan Topshop.
Pusat membeli-belah Abraj Al-Bait, salah satu pusat membeli-belah yang terbesar di Arab Saudi, dilengkapi dengan panel monitor yang besar, lampu-lampu neon, pusat hiburan, restoran makanan segera dan kedai pakaian dalam wanita sedang dibina bertentangan dengan tanah paling suci dalam Islam.
Pusat membeli-belah ini, yang dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini, adalah yang pertama dalam rancangan pembinaan yang menelan belanja AS$13 bilion ($20 bilion). Ia terletak di Menara Abraj Al Bait, menara yang dijangka diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di dunia. Ia bakal mempunyai 76 tingkat merangkumi keluasan 1,455,000 meter persegi. Menara itu akan mempunyai enam bangunan untuk perumahan, dewan solat yang boleh memuatkan 3,800 orang, pusat konvensyen untuk 1,500 orang, dua pangkalan helikopter dan bangunan empat tingkat tempat meletak kereta untuk 780 kereta dan 10 bas serta keluasan untuk banyak lagi hotel-hotel lima bintang.
Ia merupakan bangunan pencakar langit yang bakal merubah wajah kota Makkah.
HARGA PEMBANGUNAN
Adakah ini pembangunan dan kemajuan dalam Islam? Tidak semua orang menganggap ia satu kemajuan.
Dalam satu laporan, Ali al-Ahmed, pengarah Institut Hal Ehwal Teluk di Washington, sebuah pertubuhan penyelidikan pembangkang Saudi, ditukil sebagai berkata: "Makkah sedang menjadi seperti Las Vegas dan ini satu bencana. Ia akan menjadi bencana kepada umat Islam kerana apabila ke Makkah, mereka tidak akan mempunyai perasaan lagi. Tiada lagi daya tarikan. Semua yang dilihat hanyalah kaca dan simen."
Ada juga jemaah yang sekembali daripada menunaikan ibadah haji tahun lalu menyoal kenapa Hotel Hilton dibina begitu dekat dengan Masjidil Haram?
Menurutnya, jemaah yang berada di hotel itu boleh membuka saluran TV, yang menyiarkan waktu solat secara langsung, untuk sama-sama berjemaah di Masjidil Haram walau masih dalam Hotel Hilton.
Ia satu perkara yang aneh, katanya.
Adakah Hilton sudah menjadi sebahagian kawasan Masjidil Haram atau kawasan masjid itu kini menjadi sebahagian Hilton? Ia menimbulkan satu perasaan yang kurang enak, katanya.
PERUBAHAN DRAMATIK
Berdekatan Jabal Omar, seluruh bukit itu diratakan untuk memberi laluan bagi pembinaan kompleks dan hotel pencakar langit. Di mana-mana tedapat kren pembinaan dengan 130 menara baru yang dirancang di kawasan itu.
"Ini merupakan tanda berakhirnya kegemilangan Makkah," kata Irfan Ahmed yang membentuk Yayasan Warisan Islam (IHF) khusus untuk mencuba memelihara sejarah Islam Makkah, Madinah dan tapak agama penting yang lain di Arab Saudi.
"Sebelum ini, malah di zaman Uthamaniyah, tidak ada bangunan di Makkah yang menaranya lebih tinggi daripada Masjidil Haram. Kini semakin tinggi dan lebih tidak dihormati," ujarnya dalam satu laporan.
Meskipun rombakan besar-besaran ini diiringi dengan pembangunan infrastruktur, bagi sebahagian ahli sejarah, perubahannya terlalu besar. Salah seorang daripada mereka ialah Encik Sami Angawi, arkitek Saudi. "Seharusnya landskap tradisional kota Makkah ini tetap dipertahankan. Jangan hanya memikirkan bagaimana menampung sebanyak mungkin orang dan seberapa banyak wang yang boleh diperolehi," katanya.
Pegawai kerajaan Saudi pula berkata lebih AS$19 bilion telah dibelanjakan untuk memulihara warisan Islam negara.
Mereka menolak kritikan-kritikan itu sebagai tidak mengikuti perkembangan.
Sementara itu, pemaju dan ejen hartanah berkata pembinaan itu memberi lebih banyak ruang bagi lebih ramai umat Islam mengambil bahagian mengerjakan haji dalam keadaan yang lebih baik.
Ia menunjukan perubahan yang berlaku jauh daripada berakhir. "Makkah tidak pernah berubah seperti mana yang berlaku sekarang,รข€ kata Encik Sami Angawi lagi. "Apa yang anda lihat sekarang hanyalah 10 peratus daripada apa yang akan datang (bakal terjadi). Apa yang akan datang (adalah) lebih buruk (lagi)." beritaharian singapura
Selasa, 11 Januari 2011
Berdosa pamer jenama haram
Sebagaimana maklum, kerana minat itu juga, ramai sanggup memiliki serta mendapatkan setidak-tidaknya jersi yang digunakan pasukan mereka sama ada yang tiruan mahupun asli.
Namun, dalam menzahirkan perasaan minat terhadap pasukan yang disokong, ramai ‘mengaburkan’ mata hingga sanggup memakai dan menggunakan jersi pasukan yang sebenarnya turut memaparkan pelbagai logo bertemakan salib atau gambar seperti syaitan.
Jadi, sebagai orang yang beragama Islam, saya ingin mengetahui, apakah hukum pemakaian jersi berkenaan dan jika benar ia dilarang, adakah dalil mengenainya.
Ini kerana, berdasarkan perbualan bersama rakan, mereka mengatakan pemakaian jersi yang memaparkan lambang atau logo syaitan atau berbentuk salib adalah dibolehkan, cuma tidak boleh mengagungkan lambang berkenaan.
Menjawab persoalan ini, perlu diketahui bahawa pemakaian atau penggunaan lambang berbentuk syaitan atau yang memaparkan imej salib memang tidak dibolehkan bagi seorang Muslim.
Ini kerana, seseorang yang beragama Islam tidak dibenar mengiklankan sebarang perkara yang bertentangan dengan Islam.
Dalil larangan ini juga mudah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “...dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya.” (Al-Maidah, 2)
Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini membawakan sebuah hadis yang menjelaskan lagi larangan memberi apa juga bantuan sama ada tersirat dan tersurat kepada hal-ehwal yang bertentangan dengan akidah dan hukum Islam.
Ini dinyatakan olehnya dalam hadis riwayat Muslim dan Ibn Majah yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit.”
Dalam isu pemakaian pakaian atau jersi pasukan bola sepak yang diminati, seseorang itu perlu mengetahui dan meneliti lambang serta logo yang tertera adakah ia memang dizahirkan oleh pihak pasukan itu sebagai lambang salib atau bukan.
Jika ia bukan lambang salib tetapi dirasakan sebagai salib hasil imaginasi sendiri yang membayangkannya, tiada masalah untuk mengguna serta memakainya.
Dalam hal ini, contoh terdekat adalah seperti logo kenderaan jenama Chevrolet yang mungkin boleh membuatkan seseorang itu berimaginasi ia adalah lambang salib tetapi pada masa sama individu lain pula berasakan sebaliknya.
Apapun, jika seseorang itu secara tidak dapat dikawal sentiasa terbayang merasakan ia lambang salib, tatkala itu, elok ia dijauhi juga. Namun, dalam konteks biasa, logo kereta itu bukan salib.
Menyentuh mengenai minat terhadap bola sepak, sudah diketahui memang ramai antara kita meminati pasukan Manchester United hinggakan bukan saja sanggup memakai pakaian pasukan mereka, sebaliknya kerana minat juga, mereka mengagungkan logo pasukan itu dengan menampalnya di cermin kereta dan sebagainya.
Realitinya, Manchester United memang menggunakan lambang yang sinonim dengan bentuk syaitan sebagaimana lambang itu dikenali sebagai ‘Red Devil’ atau syaitan merah yang merujuk kepada pasukan berkenaan.
Walaupun hakikat sebenarnya kita tidak tahu bentuk syaitan sebenarnya, namun apabila manusia membuat imaginasi tersendiri mengenai bentuk syaitan, menamakannya sebagai ‘devil’ dan diterima umum sebagai satu lambang yang menjadi kemegahan, tatkala itu lambang ‘Red Devil’ yang berada di logo Manchester United juga termasuk dalam kategori tidak dibolehkan.
Logo ini memang tidak boleh digunakan, diiklankan atau disiarkan oleh seseorang Muslim sama ada untuk ditampal di dinding mahupun digunakan pada pakaian.
Justeru, apa-apa logo jika diterima umum sebagai satu lambang syaitan, kemungkaran, kejahatan dan dihiasi amalan dan perbuatan yang menyanjung kejahatan atau syaitan, ia haram digunakan.
Bagaimanapun, jika imej syaitan lebih membawa kepada hal bola sepak dan bukan lambang kepada perlakuan jahat dan maksiat, tatkala itu ia masih boleh digunakan.
Begitu juga jika ada individu tertentu berjaya mengelakkan hati dan pemikirannya daripada mengakui ia sebuah lambang syaitan dan kekal berasakan ia hanya sebuah lambang kumpulan bola sepak terkenal dunia yang tiada kaitan dengan syaitan atau sepertinya, tatkala itu boleh dan diharuskan baginya untuk memakainya.
Namun, perlu diberi perhatian, jika lambang itu boleh menimbulkan fitnah di kalangan individu lain yang melihatnya hinggakan pemakainya dianggap menyokong sesuatu yang diharamkan, hukum ‘harus’ itu akan berubah kepada ‘makruh’.
Dalam hal penggunaan lambang atau logo ‘Red Devil’, hukum boleh jadi berbeza-beza kerana kepercayaan, keyakinan si pemakai dan orang yang melihat.
Cara terbaik, sudah tentulah menjauhinya kerana ia mampu mewujudkan rasa ‘syubhah’.
Yang pasti, individu yang soleh dan mengabdikan diri kepada Allah SWT tidak akan sama sekali memerlukan logo ini di dalam kehidupannya.
Jika berminat sekalipun, cukup setakat menyokong pasukan itu dalam perlawanan mereka tanpa perlu membabitkan diri dan menghabiskan duit dengan membeli jersi serta barang berserta logo sedemikian.
Namun begitu, memakai jersi pasukan Liverpool dengan jelas memaparkan logo arak Carlsberg, adalah muktamad hukumnya haram menurut hukum Islam berdasarkan dalil dan hujah sebelum ini dan juga yang diberikan di bawah.
Pengharaman juga adalah muktamad bagi mana-mana pakaian dan barangan yang mempromosi iklan bank konvensional yang menawarkan produk riba.
Umat Islam dilarang sama sekali secara sepakat ulama, mempromosikan mana-mana bank konvensional kerana dosanya sama seperti berperang dengan Allah SWT serta Rasul-Nya serta ia juga sama seperti seseorang itu berzina sebanyak 36 kali.
Hal ini juga disentuh oleh ulama terkenal, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang menjelaskan: “dan apa-apa yang diharamkan penggunaannya, diharamkan juga mengambilnya sebagai barangan yang disayangi atau sebagai perhiasan.”
Jadi, kenyataan ini menjelaskan apabila seseorang itu menjadikan ia perhiasan sama ada di rumah atau pakaian untuk dipertontonkan, ia sebenarnya satu cara serta bentuk pengagungan terhadap lambang itu.
Maka, hukum memakai baju yang memaparkan lambang salib secara jelas dan berlogo apa-apa jenama yang diharamkan oleh Islam seperti Carlsberg itu adalah berdosa dan diharamkan untuk orang Islam memakainya dan dijadikan perhiasan.
Manakala hukum memakai pakaian yang berlogo Red Devil adalah di antara harus dan makruh sebagaimana dinyatakan tadi.
Namun, jika ia benar-benar dianggap sebagai logo dan tanda Devil dan tanda negatif dan kejahatan bagi masyarakat awam di sesuatu tempat, ia boleh berubah menjadi haram dan serta-merta tidak boleh dipakai Umat Islam.
Isnin, 20 Disember 2010
Dating eratkan hubungan
Jadi, apa salahnya pada hujung minggu, anda dan pasangan keluar berdua-duaan.
Selain menyeimbangkan masa mahupun mengembalikan nostalgia masa lalu, keluar dating dengan pasangan dapat memberikan ruang dan masa berbual bersama, menyelami hati masing-masing dan memberikan sedikit rasa kemesraan.
Tidak semestinya keluar dating ini memerlukan duit poket banyak, memadailah dengan mengunjungi tempat yang berpatutan dengan bajet anda.
Tapi sebelum keluar pastikan anak-anak diurus dengan sebaiknya atau mendapatkan penjaga untuk mereka.
Aktiviti ketika berdating
Makan bersama
Tidak kisahlah anda hendak makan waktu apa, sarapan, tengah hari, petang mahupun malam.
Kalau makan malam pastinya ia makan di bawah sinaran cahaya , romantiknya.
Bermain boling atau ke taman bunga
Bagi yang tidak pandai bermain boling, saat inilah pasangannya boleh memberi tunjuk ajar. Cubalah, pastinya pegangan-pegangan sayang daripada pasangan anda itu menjadi.
Ambil gambar kenangan
Sediakan kamera untuk merakam gambar kenangan anda berdua. Gambar ini akan meninggalkan kenangan dengan pasangan ketika bersama.
Menonton wayang
Juga satu kelebihan bagi mereka yang inginkan perhubungan yang hangat. Mungkin boleh menonton cerita yang agak romantik. Bukan cerita itu yang penting tetapi saat bersama itu yang mustahak.
Panduan ketika berdating
Tampil dengan perubahan
Biarpun tidak memerlukan pakaian yang mahal dan terdedah, penampilan tidak perlu terlalu over. Cukup sekadar dilihat oleh pasangan anda sesuatu yang baru dan menyenangkan hati. Pakailah sedikit mekap untuk penyeri sekiranya anda di rumah kelihatan kusut-masai.
Berpegangan tangan
Apa yang nak dimalukan untuk berpegangan tangan. Pada waktu ini semua orang akan melihat betapa intimnya anda dengan pasangan.
Jangan jadi bisu
Pastikan sepanjang bersama pasangan, banyak perkara dibincangkan. Bukanlah perkara yang terlalu berat untuk difikirkan tetapi topik yang menjadikan saat anda bersama itu indah.
Selasa, 7 Disember 2010
FBI keluar amaran untuk patung Barbie berkamera video

BARBIE VIDEO GIRL: Kamera video kecil yang diselindungi dalam satu loket di dadanya dikatakan boleh disalah guna untuk menghasilkan pornografi kanak-kanak, menyebabkan FBI mengeluarkan 'amaran jenayah siber' untuknya. -- Foto REUTERS
FBI berkata mainan itu boleh disalah guna untuk menghasilkan pornografi kanak- kanak.
Laporan yang dikeluarkan pejabat FBI Sacramento pada 30 November lalu itu memberi amaran bahawa kamera patung mainan tersebut boleh merakam video sehingga 30 minit yang boleh dimuat turun.
Amaran itu mendapat liputan media selepas dihantar kepada beberapa organisasi berita secara tidak sengaja.
Seorang jurucakap wanita FBI cuba mengawal keadaan dengan menyatakan laporan itu adalah untuk kegunaan penguat kuasa undang- undang.
'Tiada laporan mengenai insiden patung mainan ini digunakan untuk perkara lain selain tujuan asalnya.
'Sebagai penjelasan, tujuan amaran itu adalah untuk memastikan agensi penguat kuasa sedar bahawa patung mainan itu, sama seperti peralatan dengan keupayaan merakam video, boleh mengandungi bukti dan tidak seharusnya diabaikan ketika sesuatu pemeriksaan,' kata jurucakap wanita itu, yang berpangkalan di Washington, dalam satu kenyataan.
Patung Barbie Video Girl buatan Mattel Inc yang mula dipasarkan pada Julai lalu pada harga AS$49.99 ($65.23) itu dilengkapi kamera video di dadanya yang diselindungi dalam satu loket.
Rakaman kamera video itu boleh ditonton pada layar LCD pada bahagian belakang patung tersebut atau dimuat turun ke komputer.
Amaran FBI itu menyatakan tiada tanda-tanda rakaman video tersebut boleh disalurkan terus ke Internet. -- Reuters
Rabu, 1 Disember 2010
Facebook rosak rumah tangga
BANYAK MUDARAT...kajian menunjukkan, sesetengah pengguna laman sesawang sosial berbual mengenai seks dengan kenalan tidak sepatutnya.LOS ANGELES: Jika dulu perceraian sering berlaku akibat kesan gincu di baju suami atau pesanan ringkas dalam telefon bimbit, kajian terbaru menunjukkan masalah itu kini disumbangkan oleh laman sesawang sosial seperti Facebook.
Berdasarkan kajian Akademi Peguam Perkahwinan Amerika itu, satu daripada lima perceraian di negara berkenaan membabitkan laman sesawang sosial.
Kira-kira 80 peratus peguam juga melaporkan jumlah ketara individu menggunakan media sosial sebagai bukti kecurangan pasangan masing-masing.
Antara bahan digunakan adalah mesej dan gambar menggoda di Facebook.
Kewujudan laman sesawang itu didapati membolehkan seseorang berhubung semula dengan bekas kekasih masing-masing selepas terpisah sekian lama.
Kajian itu menunjukkan, Facebook adalah penyumbang terbesar masalah rumah tangga dengan 66 peratus peguam mendakwa ia dikemukakan sebagai bukti tuntutan perceraian.
Penyumbang kedua terbesar adalah laman sesawang MySpace (15 peratus) dan diikuti Twitter (5 peratus).
Selebihnya adalah laman sesawang sosial lain.
Tahun lalu, sebuah firma guaman Britain mendakwa, 20 peratus petisyen perceraian di negara itu mengaitkan Facebook sebagai punca.
Pengarah Urusan Divorce-Online, Mark Keenan, berkata kebanyakan pengguna laman sesawang sosial menggunakan kemudahan itu untuk berbual mengenai seks dengan seseorang yang tidak sepatutnya.
Laman sesawang Friends Reunited yang dilancarkan untuk menghubungkan kenalan lama di zaman persekolahan pada 1999 turut memberi kesan terhadap rumah tangga ahlinya.
Baru-baru ini, bintang siri, Desperate Housewives, Eva Longoria, mengambil keputusan berpisah daripada pasangannya, Tony Parker, selepas pemain bola keranjang itu didakwa sering berhubungan dengan wanita lain melalui Facebook. - Agensi
Sejarah papan kekunci QWERTY

Telefon bimbit pintar hari ini kebanyakkannya dilengkapi dengan papan kekunci QWERTY sama pada yang terdapat di papan kekunci komputer.
Sebenarnya, panggilan QWERTY itu diperoleh daripada jujukan enam huruf pertama dalam barisan teratas susunan huruf pada papan kekunci.
Reka bentuk itu telah dipatenkan oleh seorang editor akhbar dari Amerika Syarikat, Milwaukee pada tahun 1874.
Papan QWERTY itu muncul buat kali pertama pada mesin taip di mana pada asalnya susunan huruf pada mesin itu mengikut urutan abjad.
Penciptaan QWERTY itu adalah bertujuan untuk memudahkan kerja-kerja menaip selain mengurangkan kesilapan.
Melihat dari sudut logik lain pula, menerusi QWERTY kebanyakkan perkataan Bahasa Inggeris boleh ditaip menggunakan tangan kiri sementara tangan kanan bebas untuk mengawal tetikus.
