Selasa, 26 Oktober 2010

Sotong 'ajaib' Paul mati


BERLIN 26 Okt. - Sotong kurita, Paul yang dikenali kerana ketepatan ramalannya berhubung keputusan pertandingan Piala Dunia di Afrika Selatan Julai lalu, mati di akuarium yang menempatkannya di Jerman.

"Pihak pengurusan dan kakitangan di Pusat Hidupan Laut Oberhausen sedih selepas mendapati haiwan yang terkenal dengan ramalan tepatnya semasa Piala Dunia lalu itu, mati malam tadi.

"Paul mengagumkan dunia apabila berjaya meramal tepat pemenang perlawanan melibatkan pasukan Jerman, begitu juga dengan keputusan perlawanan akhir. Kejayaannya merupakan cerita yang lebih besar daripada Piala Dunia itu sendiri," kata pengurus pusat hidupan laut itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan.

Semasa Kejohanan Piala Dunia lalu, Paul berjaya meramal tepat pemenang bagi lapan perlawanan, termasuk perlawanan akhir apabila Sepanyol menewaskan Belanda dengan jaringan 1-0.

Semasa ramalan dilakukan, dua kotak yang tertera bendera pasukan bertanding, diletakkan di dasar akuarium.

Sambil disaksikan pemberita-pemberita, Paul akan berenang ke arah satu kotak, mengembangkan tentakelnya dan melekap pada kotak tertera bendera pasukan yang diramal akan memenangi satu-satu perlawanan.

Pusat Hidupan Laut Oberhausen berkata, Paul kini ditempatkan di dalam peti sejuk, sementara pihaknya menentukan upacara terbaik bagi mengenangnya.

Porwoll bagaimanapun berkata, peminat-peminat sotong kurita itu tidak perlu bersedih dengan kematian Paul kerana pihaknya sedang melatih seekor sotong kurita lain yang akan diberi nama 'Paul'.

"Kami mungkin akan menanam Paul di kawasan pusat hidupan laut ini dan membina satu tapak peringatan kecil untuknya.

"Walaupun ini satu tindakan pelik yang dilakukan untuk seekor hidupan laut, Paul mencipta populariti semasa hidup yang boleh dianggap sebagai wajar dilakukan," kata Porwoll. - AFP

Jumaat, 22 Oktober 2010

Rooney main wayang?

Wayne Rooney sekali lagi membuat kejutan apabila menandatangani kontrak baru bersama Manchester United, semalam walaupun beberapa hari lalu dia mengumumkan mahu meninggalkan kelab di Old Trafford itu. - AFP

LONDON - Wayne Rooney membuat 'pusingan U', apabila mengumumkan kekal bersama Manchester United dan bersetuju memperbaharui kontrak lima tahun, semalam.

Keputusan itu mengundang persoalan, mungkinkah penyerang England itu sekadar 'main wayang' setelah bersungguh-sungguh menunjukkan keinginan untuk meninggalkan United.

Laman web kelab itu menyatakan: ''Wayne Rooney telah bersetuju untuk mengikat kontrak lima tahun bersama United, sehingga Jun 2015''..

Rooney, yang dilaporkan menuntut gaji sebanyak 150,000 pound seminggu selepas cukai, menegaskan persetujuan itu dibuat, setelah Alex Ferguson memberi jaminan bahawa United akan terus komited sebagai pasukan yang hebat.''Saya gembira menandatangani kontrak baru ini.

''Sejak beberapa hari lalu, saya telah berbincang dengan pengurus dan pemilik kelab. Mereka telah menyakinkan bahawa saya seharusnya berasa bangga bersama kelab ini.

''Pengurus (Ferguson) seorang yang bijak, kepercayaan serta keyakinan beliau, menjadi faktor utama untuk saya kekal di sini.

''Saya telah menandatangani perjanjian baru yang mana kepercayaan pihak pengurusan, kakitangan kejurulatihan, ahli lembaga dan pemilik, telah menyatakan komitmen untuk memastikan United kekal sebagai sebuah kelab yang memiliki sejarah kejuaraan membanggakan, yang merupakan faktor utama saya menyertai kelab ini.''

Sebelum ini, Ferguson mendedahkan rundingan kontrak dengan Rooney, yang tamat Ogos lalu, gagal menemui penyelesaian dan menyatakan pemain itu akan dijual.

Kenyataan Ferguson bahawa Rooney tidak menghormati United, menggambar hubungan dingin di antara dua mereka. Ini disebabkan kedua-duanya berperang mulut, ekoran keputusan Ferguson merehatkan pemain itu dalam tiga perlawanan, kerana cedera buku lali.

Namun, semalam Ferguson gembira dengan keputusan Rooney: ''Minggu ini amat sukar, tetapi liputan hangat yang diberikan, sememangnya sudah dijangka.

''Saya berkata kepadanya bahawa pintu sentiasa terbuka untuknya, saya gembira Wayne bersetuju untuk kekal.

''Kadang kala, apabila anda berada di kelab ini, sukar untuk anda menyedari betapa pentingnya kelab ini. Sehinggalah berlaku sesuatu, barulah anda lebih memahami.

''Saya rasa Wayne kini memahami apakah kehebatan kelab seperti Manchester United ini.''

Rooney dikaitkan dengan perpindahan Manchester City, yang membangkitkan kemarahan penyokong.

Sekumpulan penyokong berhimpun di depan kediaman pemain itu, sebagai membantah keputusannya, sehingga polis terpaksa menyuraikan perhimpunan tersebut. - AFP

Rooney tak hormat MU


PENGURUS Manchester United, Alex Ferguson, yang pernah menjual beberapa pemain ternama sebelum ini, diuji tahap kesabarannya dan menyedari kuasanya berkurangan apabila gagal untuk memujuk Wayne Rooney kekal di kelab itu.

Rooney mungkin mengubah fikirannya tetapi prospek penyerang England itu menuruti jejak langkah Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez mengangkat kaki dari Old Trafford menyebabkan Ferguson terpaksa berfikir secara mendalam kerana perlu membina semula pasukan ketika beliau menghampiri suku angka abad menerajui kelab itu.

Dengan generasi pemain yang membantu United meraih apa yang mereka capai setakat ini, pemain seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes, semakin menghampiri persaraan, pengurus berbangsa Scotland berusia 68 tahun itu perlu banyak berfikir.

Malah beliau kelihatan terkejut berbanding orang lain, seakan-akan tidak percaya pemain Inggeris yang hampir sampai ke puncak keupayaannya seperti Rooney, mahu meninggalkan Old Trafford.

Akhbar Inggeris memuatkan berita bagaimana pemain seperti David Beckham, Roy Keane, Ruud van Nistelrooy, Jaap Stam dan Paul Ince, di sebalik status profil tinggi mereka, ditunjukkan pintu keluar selepas tidak sefahaman dengan pengurus itu.

Namun kes ini amat berbeza.

Ferguson berkata kelmarin beliau asalnya diberitahu mengenai keputusan Rooney oleh ketua eksekutif kelab, David Gill dan hanya selepas itu mendengar daripada mulut pemain itu sendiri bahawa dia "mahu keluar".

Ia membuatkan beliau berasa sakit hati secara profesional dan terluka secara peribadi dan ketika tampil di depan media, Ferguson hampir dilihat sebagai seorang bapa yang kecewa terpaksa berdepan kesalahan seorang anak lelaki yang curang.

"Saya tidak percaya, saya tergamam," kata Ferguson kepada MUTV.

"Kami sudah melakukan segala-galanya yang termampu buat Wayne Rooney sejak minit pertama dia hadir di kelab ini. Kami sering berada di sana sebagai tempatnya berlindung.

"Kami membantunya daripada segi kehidupan peribadinya dan perkara lain... nasihat yang kami berikan kepadanya - malah saya pernah bersedia memberikannya nasihat kewangan, banyak kali," kata Ferguson.

Sudah tentu ada persoalan mengenai berapa lama Ferguson, yang mengumumkan menarik balik perancangannya untuk bersara pada 2002, akan terus kekal.

Di depan sidang akhbar yang penuh, Ferguson kelihatan bukan seperti dirinya sendiri ketika beliau membaca satu kenyataan, berkata pada Mac Rooney bercakap mengenai kekal di United sepanjang hayat dan bagaimana beliau tidak tahu apa yang mengubah fikiran penyerang itu.

"Ada kekecewaan beberapa kali apabila anda terpaksa menangani masalah dengan pemain zaman moden," kata Ferguson.

"Ia tidak mudah seperti beberapa tahun lalu apabila anda berunding mengenai kontrak, kerana ketika itu pemain terpaksa bergantung dan percaya kepada pengurus. Sebagai pengurus, anda lebih banyak ada hubungan dengan ibu bapa ketika itu.

"Kami kini berunding dengan ejen yang bergantung sepenuhnya terhadap pemain... kami tinggal di sebuah dunia berbeza sekarang dan kami perlu menanganinya dengan cara berbeza. Ia menyedihkan tapi itulah hakikatnya." Sudah pasti, ketika beliau meratapi kurangnya kesetiaan di kalangan pemain moden, Ferguson terlepas pandang hakikat bahawa Everton, yang memperkenalkan Rooney sebelum disambar United sebagai seorang pemain berusia 18 tahun, juga kecewa apabila kelab Old Trafford itu tampil membawa buku cek mereka enam tahun lalu.

Apabila Ferguson mengambil alih daripada Ron Atkinson pada November 1986, keluarga Rooney menikmati parti sambutan hari jadi pertamanya dan mungkin kini jurang usia itu semakin jauh.

Rooney, yang akan berusia 25 tahun Ahad ini, muncul pemain utama dalam Liga Perdana Inggeris selama lebih lapan tahun, bermain 67 perlawanan buat England, termasuk pada dua pusingan akhir Piala Dunia, namun Ferguson masih merujuknya sebagai "seorang budak" kelmarin.

Pengurus United itu berkata selepas mendengar berita pemain yang dibeli dengan harga STG25 juta itu tidak mahu kekal, beliau memberitahunya: "Kami tidak mahu sesuatu yang tidak masuk akal daripada anda. Jangan tidak menghormati kelab," - sesuatu yang tidak setaraf dengan percakapan seorang profesional.

Mungkin tiba masanya pengendali berbangsa Scotland itu memutuskan sama ada beliau pun sudah cukup sampai masanya untuk berundur. Bukan mudah buatnya untuk membina semula pasukan yang boleh disegani di England dan Eropah.

Isnin, 18 Oktober 2010

Syiling kahwin William, Kate

CONTOH...gambaran artis mengenai bentuk syiling khas itu


Agensi yang bertanggungjawab menghasilkan syiling Britain, The Royal Mint, kini dilaporkan bersedia menghasilkan wang kenang-kenangan bagi meraikan perkahwinan pewaris takhta negara itu, Putera William dengan kekasihnya, Kate Middleton.

Pendedahan itu sekali gus menguatkan spekulasi bahawa pasangan itu akan mengumumkan pertunangan mereka tidak lama lagi.

Menurut sumber, acuan syiling berkenaan - langkah pertama bagi menghasilkan wang kenang-kenangan itu - sudah disiapkan.

Disebabkan proses itu dibuat secara rahsia, semua kakitangan The Royal Mint yang terletak di Llantrisant diharamkan bercakap mengenainya.

Di sebalik larangan itu, ada sumber mengesahkan reka bentuk awal syiling berkenaan kini siap untuk diproses.

“Saya nampak sendiri contoh acuan itu yang akan digunakan pada bila-bila masa.

“The Royal Mint hanya menunggu arahan untuk memulakan proses menghasilkan syiling itu,” katanya.

Sementara itu, cubaan media bertanya kepada pegawai The Royal Mint tidak mendapat sebarang pengesahan.

Sebaliknya, mereka hanya berkata, seperti bisnes lain, mereka sentiasa merancang pengeluaran masa depan ‘sesuai dengan potensi komersial’.

Sumber istana pula mendakwa, mereka tidak tahu-menahu mengenai rancangan The Royal Mint.

Jika William memang akan melamar Kate, dia perlu mendapatkan kebenaran Ratu Elizabeth terlebih dulu dan persetujuan itu akan dimaklumkan kepada kerajaan untuk pengumuman rasmi.

Walaupun pejabat media istana enggan membuat sebarang spekulasi mengenai pertunangan itu, seorang pegawai kanannya seolah-olah memberi pengesahan.

Katanya, tiada siapa tahu mengenai tarikh pertunangan itu kecuali William dan Kate sendiri.

“Kami tidak menjangkakan ia dimaklumkan sehinggalah pada saat akhir.

“William memang suka berahsia,” katanya. - Agensi

Selasa, 5 Oktober 2010

Sukan Komanwel 2010

Sukan Komanwel 2010 adalah Sukan Komanwel kesembilan belas, dan kesembilan yang dianjurkan di bawah nama tersebut. Temasya ini berlangsung di New Delhi, India antara 3 Oktober hingga 14 Oktober 2010, acara pelbagai sukan yang terbesar di Delhi dan khususnya India, yang sebelum ini pernah menganjurkan Sukan Asia pada 1951 dan 1982. Upacara pembukaan diadakan di Stadium Jawaharlal Nehru di Delhi. Ia adalah kali pertama Sukan Komanwel akan diadakan di India dan kali kedua acara diadakan di Asia (selepas 1998 di Kuala Lumpur, Malaysia).

Dua pembida utama untuk Sukan Komanwel 2010 datang dari Delhi, India dan Hamilton, Ontario, Kanada. Undian ahli diadakan di Perhimpunan Am Persekutuan Sukan Komanwel di Montego Bay, Jamaica pada November 2003. Delhi menang 46 undian berbanding 22 untuk mengesahkan kejayaan pertama India mendapat hak penganjuran Sukan Komanwel. Ini juga percubaan Kanada untuk menganjurkan temasya ini buat kali kelima.Cogan kata bidaan India ketika itu adalah New Frontiers and Friendships (Sempadan dan Persahabatan Baru).

India mendapat kelebihan di pusingan kedua proses mengundi dengan janji bahawa AS$100,000 akan dihulurkan kepada setiap negara peserta, di samping tiket dan khidmat penerbangan, penginapan dan pengangkutan. Kejayaan Sukan Afro-Asia 2003 di Hyderabad juga menunjukkan bahawa India mempunyai sumber, prasarana dan pengetahuan teknikal untuk menganjurkan temasya sukan besar-besaran. India juga memberi penghargaan kepada Latif Butt, bekas naib presiden Majlis Olimpik Asia, atas sokongan yang diberikannya dalam kejayaan merangkul hak penganjuran Sukan Komanwel, dengan berucap, "Kamu telah memainkan peranan penting dalam peruntukan Sukan Komanwel 2010 kepada India. Usaha sebegini wajar dicontohi oleh semua yang berkenaan di Pakistan dan India. Tidak dinafikan bahawa jika kedua-dua pihak terus berpandukan impian sedemikian, suatu hari nanti generasi akan datang akan beroleh hasilnya dan bersyukur atas sesiapa yang melakukan sumbangan ini, iaitu semestinya kamu."Kerajaan India menyatakan bahawa pihaknya akan menaja jamin perbelanjaan keseluruhan temasya.


"Shera" Maskot rasmi Sukan Komanwel 2010


Maskot rasmi Sukan Komanwel 2010 ialah Shera, seekor harimau bersifat manusia. Namanya berasal dari "Sher", yang bermaksud harimau atau singa dalam bahasa Hindi basahan.

Lagu rasmi Sukan Komanwel 2010 Jiyo Utho Bado Jeeto digubah dan dipersembahkan oleh pemuzik India, A. R. Rahman. Judulnya berasaskan slogan temasya, iaitu "Come out and play". Seni katanya ditulis oleh Mehboob dalam bahasa Hindi dengan sedikit kata-kata Inggeris. Lagu ini keluar pada 28 Ogos 2010. Video muziknya diarah oleh Bharath Bala, keluar pada 23 September dengan versi lagu yang lebih pendek.

Enam sebab kenapa perlu abdikan diri kepada Allah

KETIKA Rasulullah mengembala kambing, tidak jauh daripadanya ada sekumpulan remaja sedang melepak, berborak dan ketawa.

Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah: "Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?" Rasulullah dengan tegas menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu."

Jawapan Rasulullah itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan sehingga melalaikan itu merosakkan.

Di sebalik jawapan Nabi yang agung itu ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadah kepada Allah. Kadang kala ada orang melepak sehingga lupa menunaikan solat.

Mereka bermain bola di waktu petang tanpa perasaan malu ketika azan berkumandang. Sudahlah begitu, padang bola pula sebelah masjid.

Haiwan ternakan seperti kambing lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita kadangkala asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi selekoh. Inilah yang dilarang Nabi.

Waktu kerja ada, waktu rehat ada, masa tidur ada, masa makan ada, masa main ada, tetapi sayang waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual.

Kadang kala ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadah? Sibuk. Kalau sempat buatlah, jika tidak sempat qada saja.

Justeru, remaja perlu memahami mengapa dan alasan mengapa kita beribadah. Di sana ada enam alasan kenapa kita mesti mengabdikan diri kepada Allah.

Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau sesibuk mana sekalipun kita.

Pertama, tujuan kita dicipta Allah adalah untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah dalam Surah Az-Zariyaat ayat 56 yang bermaksud: "Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya beribadah kepadaku."

Jika tugas lain kita boleh ingat dan prihatin, maka tugas ibadah lebih utama lagi.

Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma pula, sedangkan zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar.

Pada hujung bulan bil elektrik, bil telefon perlu dibayar, jika tidak dibayar kena potong. Kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan jika kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tak beribadat, matilah.

Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah mengingatkan kita di dalam Surah al-A'raaf ayat 72 yang bermaksud: "... ketika Allah berfirman bukankah Aku ini Tuhanmu. Mereka menjawab bahkan betul."

Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul adalah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat apa lagi kita.

Firman Allah yang bermaksud: "...dan sesungguhnya kami mengutus setiap umat itu rasul untuk menyeru sembahlah Allah dan jauhilah taghut." (Surah an-Nahl ayat 36).

Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.

Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti kita di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka kepada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.

Ini terbukti dalam firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah sesungguhnya aku amat takut, jika aku menderhakai Tuhanku akan azab hari kiamat." (Surah al-Anaam ayat 15).