PENGURUS Manchester United, Alex Ferguson, yang pernah menjual beberapa pemain ternama sebelum ini, diuji tahap kesabarannya dan menyedari kuasanya berkurangan apabila gagal untuk memujuk Wayne Rooney kekal di kelab itu.
Rooney mungkin mengubah fikirannya tetapi prospek penyerang England itu menuruti jejak langkah Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez mengangkat kaki dari Old Trafford menyebabkan Ferguson terpaksa berfikir secara mendalam kerana perlu membina semula pasukan ketika beliau menghampiri suku angka abad menerajui kelab itu.
Dengan generasi pemain yang membantu United meraih apa yang mereka capai setakat ini, pemain seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes, semakin menghampiri persaraan, pengurus berbangsa Scotland berusia 68 tahun itu perlu banyak berfikir.
Malah beliau kelihatan terkejut berbanding orang lain, seakan-akan tidak percaya pemain Inggeris yang hampir sampai ke puncak keupayaannya seperti Rooney, mahu meninggalkan Old Trafford.
Akhbar Inggeris memuatkan berita bagaimana pemain seperti David Beckham, Roy Keane, Ruud van Nistelrooy, Jaap Stam dan Paul Ince, di sebalik status profil tinggi mereka, ditunjukkan pintu keluar selepas tidak sefahaman dengan pengurus itu.
Namun kes ini amat berbeza.
Ferguson berkata kelmarin beliau asalnya diberitahu mengenai keputusan Rooney oleh ketua eksekutif kelab, David Gill dan hanya selepas itu mendengar daripada mulut pemain itu sendiri bahawa dia "mahu keluar".
Ia membuatkan beliau berasa sakit hati secara profesional dan terluka secara peribadi dan ketika tampil di depan media, Ferguson hampir dilihat sebagai seorang bapa yang kecewa terpaksa berdepan kesalahan seorang anak lelaki yang curang.
"Saya tidak percaya, saya tergamam," kata Ferguson kepada MUTV.
"Kami sudah melakukan segala-galanya yang termampu buat Wayne Rooney sejak minit pertama dia hadir di kelab ini. Kami sering berada di sana sebagai tempatnya berlindung.
"Kami membantunya daripada segi kehidupan peribadinya dan perkara lain... nasihat yang kami berikan kepadanya - malah saya pernah bersedia memberikannya nasihat kewangan, banyak kali," kata Ferguson.
Sudah tentu ada persoalan mengenai berapa lama Ferguson, yang mengumumkan menarik balik perancangannya untuk bersara pada 2002, akan terus kekal.
Di depan sidang akhbar yang penuh, Ferguson kelihatan bukan seperti dirinya sendiri ketika beliau membaca satu kenyataan, berkata pada Mac Rooney bercakap mengenai kekal di United sepanjang hayat dan bagaimana beliau tidak tahu apa yang mengubah fikiran penyerang itu.
"Ada kekecewaan beberapa kali apabila anda terpaksa menangani masalah dengan pemain zaman moden," kata Ferguson.
"Ia tidak mudah seperti beberapa tahun lalu apabila anda berunding mengenai kontrak, kerana ketika itu pemain terpaksa bergantung dan percaya kepada pengurus. Sebagai pengurus, anda lebih banyak ada hubungan dengan ibu bapa ketika itu.
"Kami kini berunding dengan ejen yang bergantung sepenuhnya terhadap pemain... kami tinggal di sebuah dunia berbeza sekarang dan kami perlu menanganinya dengan cara berbeza. Ia menyedihkan tapi itulah hakikatnya." Sudah pasti, ketika beliau meratapi kurangnya kesetiaan di kalangan pemain moden, Ferguson terlepas pandang hakikat bahawa Everton, yang memperkenalkan Rooney sebelum disambar United sebagai seorang pemain berusia 18 tahun, juga kecewa apabila kelab Old Trafford itu tampil membawa buku cek mereka enam tahun lalu.
Apabila Ferguson mengambil alih daripada Ron Atkinson pada November 1986, keluarga Rooney menikmati parti sambutan hari jadi pertamanya dan mungkin kini jurang usia itu semakin jauh.
Rooney, yang akan berusia 25 tahun Ahad ini, muncul pemain utama dalam Liga Perdana Inggeris selama lebih lapan tahun, bermain 67 perlawanan buat England, termasuk pada dua pusingan akhir Piala Dunia, namun Ferguson masih merujuknya sebagai "seorang budak" kelmarin.
Pengurus United itu berkata selepas mendengar berita pemain yang dibeli dengan harga STG25 juta itu tidak mahu kekal, beliau memberitahunya: "Kami tidak mahu sesuatu yang tidak masuk akal daripada anda. Jangan tidak menghormati kelab," - sesuatu yang tidak setaraf dengan percakapan seorang profesional.
Mungkin tiba masanya pengendali berbangsa Scotland itu memutuskan sama ada beliau pun sudah cukup sampai masanya untuk berundur. Bukan mudah buatnya untuk membina semula pasukan yang boleh disegani di England dan Eropah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan