Sudah menjadi kelaziman di negara kita merayakan hari-hari kebesaran Islam seperti Sambutan Awal Tahun Hijrah, Peristiwa Isra' dan Mi'raj, Nuzul Al-Qur'an dan sebagainya. Sambutan ini diadakan bukan sahaja bagi memperingati hari kebesaran tersebut malahan ianya juga untuk diambil pengajaran, tauladan, iktibar dan sebagainya. Begitu juga dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam. Dari sambutan tersebut, kita dapat memperingati pengorbanan dan perjuangan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dalam mengembangkan dan meninggikan syiar Islam. Oleh itu bagi melahirkan rasa kasih sayang dan cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, sudah tentu sewajarnya tarikh keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam itu kita sambut dengan hati yang gembira dan penuh kesyukuran serta kita hayatinya dengan bersungguh-sungguh agar rahsia dan hikmat yang terkandung dalam sambutan tersebut dapat memberi kesan kepada keperibadian masyarakat Islam itu sendiri.
Sesungguhnya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam merupakan Uswah Hasanah iaitu ikutan atau contoh tauladan yang terbaik bagi seluruh manusia dalam semua aspek kehidupan seperti dari sudut ketaatan dan keimanan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala, kemasyarakatan dan pergaulan, akhlak dan peribadi serta siasah pentadbiran dan sebagainya. Ini telah dijelaskan di dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Al Ahzab ayat 21 tafsirnya :
"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masah susah dan senang".
Di dalam Al-Qur'an banyak menceritakan tentang akhlak dan keperibadian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Di antara sifat-sifat mahmudah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang patut kita contohi dan teladani ialah :
Pertama : Sifat sabar, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam seorang yang amat penyabar. Baginda menahan kemurkaan, kesakitan dan penganiayaan kaum Musyrikin di permulaan dakwah Baginda. Contohnya kisah Abu Jahal dan teman-temannya meletakkan perut unta di bahu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika Baginda sedang sujud menunaikan sembahyang, selepas itu mereka pun ketawa melihat kejadian itu sambil mengejek-ejek Baginda. Walau bagaimanapun, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam tetap sabar dan tidak bersedih di atas penganiayaan itu. Sifat kesabaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam itu ada digambarkan dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al Nahl ayat 127 tafsirnya :
"Dan bersabarlah wahai Muhammad terhadap perbuatan mereka dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu berdukacita terhadap kedegilan mereka dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan".
Kedua : Sifat pemaaf, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bukanlah seorang pendendam dan Baginda tidak membalas apabila dianiaya. Ini terbukti dalam sejarah apabila orang Thaif dari qabilah Syakif menghalau dengan kasar sambil melempar Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dengan batu tetapi semua itu dihadapi dengan sabar bahkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam memaafkan mereka. Begitu juga kisah Baginda memaafkan perempuan Yahudi yang meletakkan racun pada hidangan (daging kambing) yang dihidangkannya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam.
Firman Allah Subhanahu Wata�ala dalam surah Ali 'Imran ayat 159 tafsirnya :
"Maka dengan sebab rahmat yang melimpah-limpah dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu dan pohonlah ampun bagi mereka".
Ketiga : Sifat sentiasa bersyukur, sebagaimana dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim maksudnya :
"Dari Al Mughirah bin Syu'bah Radiallahuanhu berkata : Sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam mendirikan sembahyang sampai bengkak kedua kakinya lalu ditanya kepada Baginda : Wahai Rasulullah, mengapa tuan membebankan dengan hal yang demikian? Sedangkan Allah telah pun mengampuni dosa-dosa tuan yang telah lalu dan yang akan datang? Baginda lalu menjawab : Tidak patutkah aku menjadi hamba yang bersyukur".
Begitulah indahnya dan mulianya akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam walaupun Baginda seorang Nabi yang terpelihara (Maksum) tetapi Baginda tetap beribadat dan sentiasa bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Sesungguhnya amat tepat bila dikatakan bahawa Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam itu adalah contoh teladan yang terbaik bagi seluruh umat manusia untuk diikuti dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu, sudah sewajarnya kita mencontohi akhlak Baginda dan mengamalkannya dalam kehidupan jika kita mahu bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat.
Dalam memperingati Hari Keputeraan dan Keagungan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, pada lazimnya, berbagai aktiviti-avtiviti keagamaan diadakan seperti Majlis Dikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat, ceramah-ceramah agama dan bermacam-macam lagi aktiviti keagamaan. Hal seumpama ini adalah sangat baik lagi terpuji dan ia juga salah satu amalan yang menzahirkan sifat cinta dan kasih kita terhadap Baginda, yang dinamakan juga sebagai Hubut Taqzim. Imam Ghazali ada menjelaskan bahawa Hubut Taqzim itu ialah cinta atau kasih kerana memuliakan orang lain seperti kasih kepada Rasul, ibu bapa, ketua-ketua dan sebagainya.
Imam Ghazali juga menjelaskan bahawa cinta kepada Rasulullah bukanlah hanya sekadar ucapan di bibir sahaja, akan tetapi hendaklah kita melaksanakan Sunnah Baginda, sama ada dari segi percakapan, perbuatan dan termasuklah juga akhlak kerana itulah Baginda berjanji barangsiapa yang berpegang dengan Al-Qur'an dan sunnahnya, maka mereka tidak akan sesat selama-lamanya. Oleh itu, sudah sepatutnya kita menghayati sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam sebagai pegangan dan pedoman hidup. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang maksudnya :
"Dari Anas bin Malik, telah bersabda kepadaku Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam : Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku maka ia telah cintakan aku dan barangsiapa yang cintakan aku maka dia bersamaku di dalam Syurga". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)
Oleh yang demikian kita sewajarnya mencintai dan mengasihi Baginda dengan mentaati ajaran yang dibawa oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, berselawat ke atasnya serta meneruskan perjuangan Baginda dengan mensyiarkan dakwah Islamiah dan memeliharanya dari sebarang cobaan atau ancaman yang hendak melemahkan kesatuan dan akidah umat Islam.
Akhirnya, marilah kita sama-sama sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala dengan berzikir dan berdoa dan sentiasa mengingati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dengan memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Sallallahu Alahi Wassalam. Mudah-mudahan kita memperolehi syafaat dari selawat yang kita amalkan dan seterusnya mendapat rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al A'raaf ayat 108 tafsirnya :
"Katakanlah wahai Muhammad : Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, diutus oleh Allah yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang Menghidupkan dan Mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimah-Nya (kitab-kitabnya) dan ikutlah Dia supaya kamu beroleh hidayah petunjuk".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan