Isnin, 28 Mac 2011

MENGAPA WANITA MELAYU KINI GEMUK-GEMUK?

MENGAPA WANITA MELAYU KINI GEMUK-GEMUK?

Sungguh berbeza dari 30, 40 atau 50 tahun lalu apabila mereka lebih dikenali kerana kelangsingan tubuh dan kerampingan pinggang masing-masing, apatah lagi jika berbaju kebaya

MASALAH kegemukan di kalangan wanita Melayu telah mendapat perhatian sejak lebih sedekad yang lalu, tetapi hingga kini ia kelihatan masih meluas.

Berjalan-jalan di kawasan-kawasan yang ramai orang Melayu, memberikan gambaran sedemikian.

Daripada kalangan sejumlah wanita Melayu di tempat-tempat ini, pasti akan ada beberapa orang yang menyerlah kehadiran mereka kerana berat badan yang berlebihan atau obes.

Ia satu senario yang sungguh jauh berbeza daripada era sekitar 30, 40 atau 50 tahun lalu, apabila wanita- wanita Melayu lebih dikenali kerana kelangsingan tubuh dan kerampingan pinggang mereka, apatah lagi jika berbaju kebaya.

Sebagaimana langsing dan ramping seniwati-seniwati filem Melayu lama, begitulah wanita-wanita Melayu pada ketika itu.

Jika ada pun mereka yang agak gempal pada masa lalu, mereka biasanya sudah separuh umur, tetapi kini, ramai wanita Melayu yang masih muda dan belum berumah tangga pun, berkeadaan obes.

Maka, ini menimbulkan persoalan: Mengapa wanita Melayu dahulu dapat menjaga kelangsingan tubuh tetapi sekarang bentuk tubuh mereka 'membuak-buak'?

DULU BANYAK KERJA, KURANG MAKAN

Wanita dahulu umumnya, banyak menggunakan tenaga dan mengeluarkan peluh dalam kehidupan seharian mereka.

Mereka bagaikan bersenam setiap hari.

Tanyalah ibu bapa atau datuk nenek awda. Wanita kita dahulu, kalau membasuh pakaian, mereka gunakan tangan. Mereka berus dan sental pakaian yang dicuci itu dengan sabun buku sampai berpeluh- peluh... setiap hari.

'Setiap pagi dan petang, mereka mengemas rumah dan menyapu halaman dengan penyapu lidi.

'Pasar masa itu pula jauh dari rumah. Setiap pagi kita boleh lihat ramai wanita kita menggendung bakul, berjalan kaki ke pasar sampai mengeluarkan peluh yang banyak.

'Baik juga mereka jalan kaki. Paling banyak, mereka naik beca,'

Taraf kehidupan yang lebih rendah pada masa lalu juga bermakna orang Melayu ketika itu kurang makan dan mereka juga tidak bergantung kepada pembantu rumah untuk melakuan kerja-kerja rumah mereka.

Makanan seharian mereka pada masa itu hanyalah nasi, sayur dan ikan... ada masanya cuma nasi dan kicap sahaja.

Daging dan ayam, pada masa itu, merupakan makanan mewah yang hanya dapat mereka nikmati sekali-sekala.

Mereka makan di luar hanya apabila dapat gaji pada penghujung bulan. Itupun tidak ramai yang mampu berbuat demikian.

SEKARANG BANYAK MAKAN, KURANG KERJA


Kenapa demikian?

Pakar-pakar kesihatan mengatakan, mereka lihat gaya hidup wanita sekarang sudah banyak berbeza daripada wanita dahulu.

Wanita Melayu sekarang umumnya tidak menjaga pemakanan dan tidak bersenam atau bergerak aktif secara fizikal.

Ini termasuklah tabiat masih suka masak dan memakan makanan berminyak dan berlemak, kerap mengadakan jamuan makan di rumah atau menghadiri jamuan makan di majlis kahwin atau kenduri-kendara, memilih untuk menjamu selera daripada melakukan aktiviti fizikal ketika beriadah di tepi pantai, dan suka melakukan santapan jauh malam atau supper di luar walaupun sudah makan malam.

Makan di luar dapat dikaitkan dengan peningkatan masalah obesiti ini, selain daripada corak kerja yang lebih bersifat sedantari atau tidak banyak bergerak yang dilakukan kian ramai.

Dari segi senaman pula, antara sebab-sebab ramai wanita Melayu tidak melakukannya termasuklah 'tiada masa' yang merangkumi sebab 'menjaga anak atau cucu.'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan