Jumaat, 17 September 2010

Amalan mulia di hari raya


SELEPAS sebulan menunaikan ibadah puasa, umat Islam kini sedang menyambut kemenangan dengan kehadiran Syawal.

Ramadan menjanjikan keampunan Allah kepada hamba-Nya yang bertaubat serta bersungguh-sungguh mengharapkan keredaan-Nya.

Justeru itu, malang sekali bagi hamba-Nya yang masih dibelenggu dosa atas kesalahan mereka lakukan sedangkan Ramadan sudah melabuhkan tirainya. Hanya hamba Allah yang beriman dengan teguh kepada-Nya akan berjaya melaksanakan tuntutan Ramadan serta merebut ganjaran yang terbentang luas. Maka beruntunglah bagi mereka yang diampuni Allah segala dosanya yang lalu pada bulan Ramadan lalu. Apabila giliran Syawal tiba peluang harus dimanfaatkan untuk memohon kemaafan sesama insan. Manusia biasa sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Jadi tuntutan meminta maaf sesama manusia menjadikan hubungan mereka terus bertaut selamanya. Menjadi kesalahan bagi seorang Muslim yang menjadikan Syawal sebagai satu-satunya masa dan peluang untuk meminta dan memberi kemaafan.

Peluang keemasan itu perlu dijadikan titik permulaan agar setiap individu Muslim tidak berasa janggal untuk meminta dan memberi kemaafan, lantaran semuanya melakukan amalan yang sama.

Sifat pemaaf bukan sahaja menonjolkan peribadi Muslim yang berbudi pekerti mulia, malah ia mencermin­kan keindahan Islam sebagai agama yang benar dan tinggi.

Allah menjelaskan bahawa amalan meminta dan memberi maaf adalah antara amalan murni seterusnya melayakkan seorang Muslim mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Terimalah kemaafan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) daripada orang-orang yang jahil.” (Surah al-A’raf, ayat 199).

Sebenarnya amalan meminta maaf dan sifat pemaaf juga mempunyai kaitan dengan sifat sabar. Dengan bersabar, ego dapat ditundukkan, maka lahirlah perasaan mudah untuk meminta maaf dan juga memberi kemaafan kepada pihak lain. Allah memberi peringatan betapa pentingnya sifat sabar dalam diri setiap Muslim. Firman Allah yang bermaksud: “Maka bersabarlah, dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ma’arij, ayat 5). Allah juga berfirman yang bermaksud: “Dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46).

Amalan meminta maaf dan sifat pemaaf seharusnya menjadi budaya dalam kehidupan seharian bagi mereka yang bergelar Muslim sejati. Hakikatnya amalan meminta maaf dan sifat pemaaf tidak tertumpu kepada golongan tertentu saja. Amalan meminta maaf bukan hanya amalan hamba terhadap tuannya, pekerja terhadap majikannya, murid kepada gurunya, golongan muda kepada golongan tua, bahkan ia amalan yang dituntut kepada sesiapa saja yang melakukan kesilapan, tidak mengira darjat dan pangkat. Malah jika ibu bapa ada melakukan kesilapan kepada anak mereka, maka amat wajar bagi ibu bapa untuk meminta maaf kepada anak, apatah lagi jika sebaliknya.

Selain itu, satu lagi amalan yang harus dikekal dan diamalkan pada hari raya ialah amalan memberi ucapan selamat kepada sesama Muslim.

Budaya yang memang menjadi amalan umat Islam di negara ini semasa hari raya perlu terus disemarakkan kerana ia selari dengan tuntutan Islam.

Jika dilihat senario semasa, budaya menghantar kad ucapan hari raya adalah satu amalan yang baik, hampir pupus disebabkan faktor sekeliling. Namun dengan kemajuan dunia teknologi masa kini seperti sistem pesanan ringkas, e-mel, laman sosial peribadi seperti friendster dan facebook harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menghidupkan budaya memberi ucapan selamat kepada saudara Islam pada musim perayaan.

Inilah antara amalan salaf al-salih seperti golongan sahabat Rasulullah pada hari raya. Daripada Jubair bin Nafir, beliau berkata: “Sahabat Rasulullah apabila bertemu pada hari raya, mereka mengucapkan antara satu dengan yang lain: ‘Semoga Allah menerima amalan kita dan amalanmu’”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan