TIBA sudah Ramadan, bulan keberkahan, pengampunan dan kemenangan. Ramadan juga bulan yang penuh dengan peluang-peluang bagi Muslim untuk melakukan begitu banyak sekali amal ibadah dan kebajikan. Ramadan juga bulan yang mempamerkan satu ciri Islam yang begitu menonjol sekali, iaitu sifat kasih sayang umatnya.
Dan di manakah tempat yang paling sesuai sekali untuk memperkatakan isu kasih sayang ini kalau tidak dalam kontek sebuah perkahwinan atau rumah tangga.
Sempena Ramadan Al-Mubarak ini, amat sesuai sekali untuk setiap pasangan suami-isteri merebut peluang bermuhasabah atau refleksi diri mengenai status kasih sayang di antara mereka, terutamanya berdasarkan konsep hablumminnas wa hablumminallah.
Memang tidak menghairankan dalam konteks hidup di Singapura ini sepasang suami-isteri begitu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing saban hari sepanjang tahun sehingga isu-isu kasih sayang di antara mereka dan juga dengan anak-anak tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.
Tidak aneh apabila kasih sayang sesuatu perkahwinan itu terkorban dek kesibukan setiap pihak untuk memenuhi keperluan lain. Tidak mudah untuk mengimbangi setiap keperluan hidup dengan seadilnya.
Perut juga begitu sibuk memproses makanan saban hari sepanjang tahun. Kehadiran Ramadan memberi kerehatan yang amat menyihatkan dan menyegarkan kepada perut dan juga keseluruhan tubuh badan.
Dan sepertimana perut, Ramadan memberi peluang kepada pasangan suami-isteri yang sibuk sepanjang tahun untuk mendapatkan sedikit kerehatan demi memperbaharui, menyegarkan dan menyuburkan lagi kasih sayang di antara mereka, dan juga dengan Allah swt.
Keperluan untuk memperbaharui keadaan juga dipamerkan dengan jelas oleh Rasulullah saw apabila baginda sendiri menyemak bacaan al-Qurannya dengan Malaikat Jibrail pada setiap Ramadan. Apatah lagi hubungan suami-isteri yang telah melalui ranjau sepanjang jalan, tentu sekali perlu mendapatkan suntikan keberkahan di bulan Ramadan.
Bagaimanakah dapat suami-isteri mendapatkan kerehatan demi menyegarkan hubungan di antara mereka?
Syahdu dan Tenang Menyambut
Kedatangan Ramadan Bersama
Bergemanya azan, bersedialah juga suami untuk mengimami solat berjemaah bersama isteri dan juga anak-anak diikuti pula dengan membaca al-Quran sebanyak mana yang termampu oleh setiap anggota keluarga, walau dengan sepotong ayat sekalipun oleh setiap seorang. Sekeluarga mendirikan solat isyak berjemaah dan diikuti dengan solat sunnat Tarawih.
Inilah di antara contoh bagaimana setiap pasangan boleh menyambut kedatangan Ramadan dalam suasana syahdu, samada di rumah atau di masjid. Namun, ini hanya dapat dilakukan apabila kedua-dua suami-isteri berniat dan membuat persiapan untuk meluangkan masa untuk melaksanakannya bersama.
Kesyahduan suasana dan ketenangan perasaan yang dialami pasangan suami-isteri ketika menyambut kedatangan Ramadan seperti ini mampu menyelinap ke dalam jiwa lalu membuka minda dan melembutkan hati masing-masing pihak untuk lebih saling menyayangi dan mendoakan.
Menyentuh Jiwa dalam
Menyantuni Sahur Bersama
Sebenarnya, waktu bersahur juga merupakan peluang untuk mendapatkan kerehatan di antara suami-isteri dalam bulan Ramadhan. Apabila ia dirancang dengan sempurna, waktu bersahur boleh menjadi pengalaman yang menyentuh dan mengusik jiwa, dan bukannya sesuatu yang membingitkan kepala.
Sahur yang afdhal adalah di waktu akhir-akhir malam. Dan di situ jugalah waktu yang mujarab untuk bermunajat kepada Allah swt. Apabila persiapan sahur telah dilakukan terlebih awal, suami dan isteri mempunyai luangan masa lebih untuk mendirikan solat malam seperti tahajjud, tasbih dan hajat sebelum bersahur.
Bersyukur Berbuka Bersama
Peluang kerehatan selanjutnya terdapat sewaktu berbuka bersama. Sama ada di masjid atau di rumah, berbuka bersama suami dan isteri beserta anak-anak mewujudkan suasana kesyukuran yang mengesankan jiwa dengan iringan zikir dan doa bersama, dihiasi sedekah berbentuk senyuman oleh semua untuk semua.
Inilah keberkahan berbuka bersama apabila suami dan isteri memanjatkan kesyukuran terhadap Allah swt secara terbuka kerana telah memberi keizinan untuk mereka dan anak-anak menyempurnakan ibadah puasa pada hari itu. Komunikasi terbuka seperti ini bukan sahaja akan menanam nilai-nilai positif sepanjang hayat dalam diri anak-anak, bahkan ia juga bakal manambahkan lagi ni'mat berumahtangga keseluruhannya.
Iltizam Suami-Isteri
Beginilah peluang-peluang keemasan dalam Ramadan yang seharusnya direbut pasangan suami-isteri untuk recharge bateri bukan sahaja dalam perhubungan mereka dengan Allah swt, bahkan juga di kalangan anggota keluarga mereka, terutama di antara mereka sendiri sebagai suami-isteri.
Dan kerehatan di sini bukanlah bermaksud relax sebagaimana lazimnya. Yang dimaksudkan adalah memberi ruang yang lebih untuk minda, hati dan sanubari menumpukan perhatian kepada usaha-usaha memperkukuhkan lagi ikatan kasih sayang di antara suami-isteri sempena suasana ibadah bulan Ramadan.
Ertinya, rehatkan tumpuan kepada perkara-perkara lain yang biasa ditangani dalam 11 bulan yang lalu dan tambahkan usaha-usaha untuk meningkatkan lagi mutu perhubungan suami-isteri sesama sendiri dan juga dengan Allah swt secara intensif dalam sebulan.
Apabila usaha-usaha ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan sepanjang Ramadan oleh kedua-dua suami dan isteri, kemenangan yang disambut di pagi Syawal akan membawa pengertian cinta, kasih dan sayang. - Bharian Singapura
Tiada ulasan:
Catat Ulasan