Rabu, 10 Ogos 2011

MENDERMA SAMBIL BERAMAL MELALUI SMS BRUNEI PRIHATIN

BAGI memudahkan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darusalam menghulurkan derma kepada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan, kecanggihan teknologi digunakan iaitu dengan menggunakan telefon bimbit. Dengan teknologi ini, orang ramai boleh menderma melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Sambutan orang ramai amatlah menggalakkan dengan penggunaan teknologi dalam pengutipan derma sejak beberapa tahun yang lalu Pelancaran SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan bagi mengutip derma anak-anak yatim akan memberi peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan derma. Projek sedemikian merupakan satu lagi saluran yang yang dikira 'mudah' bagi orang ramai untuk menyumbangkan derma. Kaedah yang menggunakan kecanggihan teknologi melalui telefon bimbit memberikan kesenangan kepada penderma dengan tidak payah lagi datang sendiri menyerahkan derma tetapi hanya dengan melalui SMS. Kita merasakan penggunaannya amatlah relevan dewasa ini kerana usaha sedemikian telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Pelancaran SMS Brunei Prihatin itu telah dilancarkan pada 3 Ogos 2011 oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah. Projek tahunan itu telah diungkayahkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri, Data Stream Technology (DST) dan B-Mobile Comunications Sendirian Berhad. Masyarakat Brunei dan orang ramai boleh menderma dengan mudah melalui pesanan ringkas SMS dengan kadar BND1, BND5, BND10 dan BND20.

Projek berkebajikan yang dilancarkan sempena bulan Ramadan antara lain bertujuan untuk menambah kewangan Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan di samping untuk menggalakkan semua golongan masyarakat untuk menghulurkan derma kepada anak-anak yatim di negara ini. Walau bagaimanapun, orang ramai yang ingin menghulurkan derma masih boleh berbuat demikian seperti yang lazimnya. Cuma SMS Brunei Prihatin ini bagi membolehkan semua rakyat untuk terlibat sama sebagai tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Kepada orang ramai yang berhasrat untuk menderma bolehlah menderma melalui SMS yang disediakan dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan menaip jumlah yang dikehendaki iaitu 1, 5, 10, 15 atau 20 sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah BND20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan B-Mobile atau melalui 'WAP Portal'. Kutipan derma melalui SMS akan berjalan selama 42 hari dan akan berakhir pada 15 September 2011.

Inisiatif dan langkah murni yang digembleng secara kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta ini pastinya akan memudahkan orang ramai dari semua peringkat bagi menghulurkan derma seangkat-angkat hati sambil beramal bagi membantu meringankan kesengsaraan anak-anak yatim lebih-lebih lagi di musim perayaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang nanti. Secara langsung usaha ini dapat menanam rasa tanggungjawab sosial dan sikap penyayang serta pemedulian terhadap anggota masyarakat yang memerlukan bantuan.

Kitani merasakan masyarakat Brunei yang memang terkenal dengan sikap pemedulian dan prihatin pastinya akan terpanggil bagi menjayakan bersama projek yang penuh berkebajikan itu. Kita juga merasa optimis, usaha berkenaan akan mendapat kejayaan kerana kita sedia mempunyai mempunyai masyarakat yang sangat prihatin dan bermurah hati dalam menghulurkan derma kepada golongan yang memerlukan.

Apa yang mustahak, kita selaku anggota masyarakat perlu berganding bahu bersama-sama dengan pihak kerajaan dan swasta untuk mengembleng tenaga secara bersepadu bagi membantu dan meringankan kehidupan anak-anak yatim. Usaha bersepadu amatlah mustahak bagi menjamin kehidupan mereka di masa mendatang agar menjadi warga negara yang berguna kepada negara bangsa.

Bersempena bulan Ramadan yang mubarak ini, marilah kita bersama-sama menghulurkan derma melalui SMS. Hulurkanlah derma kepada anak-anak yatim seangkat-angkat hati. Bantulah golongan yang memerlukan. Semoga sumbangan ikhlas yang biskita hulurkan bagi meringankan golongan itu akan mendapat keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipatganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua. Apa yang diharapkan agar usaha ini seperti di tahun-tahun yang lalu akan mendapat sokongan yang padu daripada masyarakat bagi merealisasikan impian murni kita untuk membantu menambah kewangan Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan