Penyerang Liverpool, Luis Suarez digantung lapan perlawanan selepas Suruhanjaya Disiplin Persatuan Bola Sepak (FA) England mendapati pemain itu bersalah kerana bersikap perkauman terhadap pemain Manchester United, Patrice Evra.
Penggantungan Penyerang Liverpool, Luis Suarez mengejutkan bola sepak dunia tetapi ramai lagi pemain dan pengurus yang dikenakan hukuman Persatuan Bola Sepak Inggeris.
Perbicaraan sejak Rabu lalu, termasuk siasatan yang mengambil masa selama sebulan memutuskan Suarez, yang turut didenda 40,000 pound (RM198,859), menghina Evra ketika perlawanan Liga Perdana yang berkesudahan 1-1 di Anfield 15 Oktober lalu.
Suarez berkata, keputusan tersebut memberi tamparan hebat kepadanya.
"Hari ini amat sukar dan memeritkan buat saya dan keluarga. Terima kasih di atas semua sokongan, saya akan terus berusaha!" kata penyerang Uruguay itu.
Sebaik perlawanan tamat, Evra membuat pendedahan mengenai Suarez yang menghinanya.
Ketika ditemubual oleh stesen televisyen Perancis, Canal Plus, Evra berkata, Suarez menghinanya sebanyak lebih 10 kali sepanjang perlawanan.
"Saya amat sakit hati. Dalam era 2011 anda tidak boleh mengeluarkan kata-kata seumpama itu. Dia tahu apa yang diperkatakan, pengadil juga tahu.
"Saya tidak akan ulang lagi apa yang telah dia katakan, tetapi ia merupakan kata-kata yang berbaur perkauman dan dia berkata lebih 10 kali. Dia cuba memancing perhatian saya. Saya tidak mahu membesar-besarkan hal ini, tetapi ia amat menyakitkan hati dan mengecewakan," kata Evra.
Suruhanjaya Disiplin FA bersetuju dengan Evra dan dalam kenyataan kepada media berkata: "Jawatankuasa Undang-Undang Bebas mendapati Luis Suarez bersalah dan dia dihukum lapan perlawanan serta didenda 40,000 pound. Pemain itu boleh mengemukakan rayuan."
Keputusan suruhanjaya itu adalah seperti berikut: "Suarez menggunakan kata-kata yang menghina Evra ketika perlawanan yang bertentangan dengan Peraturan FA E3 (1).
"Perkataan menghina itu digunakan Suarez merujuk kepada warna kulit Evra yang ada terkandung dalam Peraturan E3(2).
"Suarez diberi amaran di atas tingkah lakunya pada masa akan datang dan dia dihukum lapan perlawanan melibatkan perlawanan skuad utama dan didenda sebanyak 40,000 pound. - AFP
ERIC CANTONA - 1995
Pemain Perancis itu menyerang Matthew Simmons di Selhurst Park pada Januari 1995, selepas dikecam dari tempat duduk penyokong selepas dibuang padang.
Dia kemudiannya digantung sembilan bulan daripada aksi perlawanan seluruh dunia dan kerja komuniti selama 120 jam.
ROY KEANE - 2002
Pemain tengah Manchester United digantung lima minggu serta denda 150,000 pound pada Oktober 2002 berikutan komen terhadap Alfie Haaland dalam autobiografi penuh kontroversi bertajuk Keane: The Autobiography.
RIO FERDINAND - 2003
Pemain Manchester United itu digantung lapan bulan pada Disember 2003 selepas gagal dalam ujian dadah pada September tahun sama.
Hukuman itu menyebabkan pertahanan itu tidak dapat beraksi dalam separuh kedua kempen United dalam Liga Perdana Inggeris dan Euro 2004 mewakili England.
JOHN MACKIE – 2003
Pertahanan Reading, Mackie digantung tiga perlawanan dan tambahan lima perlawanan lagi serta didenda 3,000 pound kerana membuat komen berunsur perkauman terhadap penyerang Sheffield United, Carl Asaba. Dia menderma gaji selama dua minggu kepada pertubuhan Kick Racism Out of Football.
LUIS ARAGONES - 2005
Jurulatih Sepanyol, Luis Aragones begitupun hanya didenda 2,000 pound oleh Persekutuan Bola Sepak Sepanyol kerana membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap Thierry Henry. Jurulatih berkenaan dijangka didenda 22,000 pound atau mungkin kehilangan kerjanya. Denda berkenaan setara dengan nilai gaji sehari.
Jurulatih berkenaan bagaimanapun membuat rayuan dan menang pada 2007.
BEN THATCHER – 2006
Pertahanan Manchester City itu digantung lapan perlawanan oleh FA Inggeris dengan tambahan 15 perlawanan lagi selepas insiden yang menyebabkan Pedro Mendes tidak sedarkan diri.
Terjahan Thatcher itu menyebabkan Portsmouth dikejarkan ke hospital. City turut menggantung enam perlawanan terhadapnya dan mendendanya dengan nilai enam minggu gaji.
KOLO TOURE - 2011
Pertahanan Manchester City itu didenda dengan bayaran enam minggu gaji, sekitar 720,000 pound selepas siasatan kelab terhadap penggantungan enam bulan akibat dadah. City mendapati bekas kapten kelab itu bersalah.
Toure digantung enam bulan selepas pemain Ivory Coast itu disahkan positif mengambil bahan terlarang.
LUIS SUAREZ - 2011
Penyerang Liverpool itu digantung lapan perlawanan kerana melakukan kecaman berbentuk perkauman terhadap pertahanan Manchester United, Patrice Evra.
Suarez, yang berulang kali menafikan dakwaan itu turut didenda 40,000 pound selepas suruhanjaya tatatertib berkecuali mendapatinya bersalah kerana mengecam Evra pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, Oktober lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan