Rabu, 28 Disember 2011

Penyakit sepanjang tahun

MENGIMBAS isu-isu kesihatan 2011, pelbagai penyakit silih berganti yang diketengahkan Mingguan Malaysia. Akhbar ini membawa pembaca menyelami isu penyakit fizikal, mental dan sosial merangkumi panduan dan rawatan terbaru.


Ada juga pesakit yang sudi berkongsi kisah mereka berhadapan penyakit berbahaya seperti kanser hati, payu dara dan sebagainya.

Antara penyakit yang masih utama di Malaysia ialah kencing manis, kanser payu dara, demam denggi, keracunan makanan dan sakit jantung.

Tidak ketinggalan, stres, kemurungan dan bunuh diri yang semakin meningkat.

Sebagai penutup 2011, Kesihatan mengimbas beberapa isu yang telah dikupas sepanjang tahun ini.


Stres di tempat kerja

Stres boleh menjejaskan tingkah laku, fikiran, emosi, perhubungan dengan orang lain di pejabat dan rumah. Dalam pada itu, wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami stres dan kemurungan berbanding lelaki. Tidak ada sebab tertentu yang mengatakan mengapa wanita lebih berisiko tinggi stres berbanding lelaki.

Bagaimanapun, ia mungkin kerana wanita lebih mudah meluahkan perasaan dan dengan cara begini mereka cepat mendapatkan rawatan. Lelaki biasanya tidak mudah meluahkan perasaan dan ini mungkin kerana anak lelaki dididik supaya menjadi 'lelaki sejati', iaitu tidak boleh menangis dan sebagainya.


Lelaki dan prostat

Prostat sering dipandang remeh dengan alasan bahawa simptom-simptomnya hanya hanya berkaitan orang tua.

Sebanyak 98 peratus daripada keseluruhan kes prostat dikesan berlaku pada kaum lelaki yang berusia 55 tahun ke atas.

Manakala purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun.

Bagaimanapun, disebabkan kelenjar prostat mengalami pengembangan dan perubahan dari tahap baligh lagi, adalah digalakkan agar lelaki berumur 50 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kanser prostat setahun sekali.

Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat. Penyakit dan masalah yang utama adalah Benign Prostatic Hyperplasia - BPH (Pembesaran Kelenjar Prostat ) dan kanser prostat.


Bunuh diri bukan trend baru

Tidak keterlaluan andai dikatakan hampir setiap hari kes bunuh diri berlaku. Sama ada mengambil jalan drastik seperti menembak, menggantung, terjun dari tempat tinggi atau dengan mengambil ubat serta dadah berlebihan, tujuannya cuma satu - mati!

Sungguh tragik sehingga terbayang juga bagaimana mereka yang waras sampai mampu mengambil langkah sedemikian.

Tindakan membunuh diri merupakan satu keputusan dinamik dengan niat untuk menamatkan hidup yang berpunca daripada beberapa sebab.

Bunuh diri di kalangan mereka yang waras biasanya bertujuan melarikan diri daripada masalah yang ditanggung.


Stres memandu dan jantung

Kesesakan lalu lintas sememangnya tidak dapat dielakkan apatah lagi dengan pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya.

Berhadapan dengan keadaan ini boleh membuatkan tahap tekanan atau stres anda melonjak.

Selain degupan jantung yang cepat dan badan banyak berpeluh, lain-lain tanda amaran stres termasuklah loya, bernafas kencang, cirit-birit dan terasa hendak membuang air kecil, sejuk kaki dan tangan, berubah selera makan (tidak lalu makan atau makin bertambah), keinginan seks menurun, sakit-sakit badan yang tidak diketahui puncanya, tidak dapat menumpukan perhatian dan gangguan tidur.


Dilema lelaki obes

Selain kesedaran berhubung kesan obesiti pada status kesihatan dan perkembangan psikososial seseorang, berat badan berlebihan sering dikaitkan dengan gambaran negatif baik wanita mahupun lelaki.

Namun, mereka yang berusaha mendapatkan berat badan idaman dan mengekalkannya sering menemui jalan buntu.

Pada peringkat awal, gemuk atau obesiti boleh menyebabkan masalah seperti sukar berjalan, sakit belakang, sering keletihan, menjejaskan keadaan kulit dan sesak nafas.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, berat badan berlebihan ini berkecenderungan menjadi lebih teruk dengan ancaman penyakit yang boleh membawa maut.


Jejas fungsi usus

Anda menghidap sakit abdomen berulang dengan sembelit atau cirit-birit berterusan untuk tempoh beberapa tahun lamanya?

Jika jawapan ya, itu bermakna anda berhadapan dengan sindrom usus rengsa (Irritable Bowel Syndrome) yang sering diringkaskan sebagai IBS.

Walaupun sindrom itu bukan bersifat kritikal namun IBS sememangnya mengganggu aktiviti harian sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti sakit kerana sakit perut atau cirit-birit berterusan.


Bersalin dalam air

Menerusi penyebaran dokumentari dan maklumat tentang bersalin dalam air yang semakin meluas di internet, trend ini semakin mendapat perhatian orang ramai.

Kaedah bersalin dalam air sebenarnya satu perkara biasa dan popular di Amerika Syarikat dan United Kingdom sejak tahun 1980-an lagi.

Ramai yang beranggapan kaedah ini dapat memberi ketenangan kerana suhu air yang agak suam memberi kelegaan kepada sakit bersalin .


Kecelaruan personaliti

Kecelaruan identiti terpisah (DID) adalah penyakit mental yang menyebabkan pengidapnya mempunyai sekurang-kurangnya dua identiti jelas (boleh jadi lebih) atau keadaan personaliti yang berubah-ubah dalam waktu yang berlainan.

Mereka yang mempunyai masalah ini tergolong dalam masalah kecelaruan personaliti . Namun disebabkan peratusan sangat rendah iaitu sekitar 1 atau 2 peratus daripada mereka yang mengalami masalah mental secara keseluruhan, DID jarang disebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan