Sabtu, 31 Disember 2011

MERAIKAN TAHUN BARU MASIHI BUKAN BUDAYA ORANG ISLAM


Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan minum dan sebagainya. Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Imran ayat 14 tafsirnya: "Dihiaskan (dijadikan indah) bagi manusia kecintaan kepada keinginan-keinginan nafsu iaitu menyukainya perempuan, anak pinak dan harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda pilihan lagi terlatih serta binatang-binatang ternakan dan tanaman-tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Padahal disisi Allah ada sebaik-baik tempat kembali iaitu syurga"

Akan tetapi, sebagai orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti ketika mencari hiburan. Al-Qur'an telah mengingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang hina, sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Lukman ayat 6 tafsirnya: "Dan ada di antara manusia, orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan, yang berakibat menyesatkan dirinya dan orang ramai dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekkan, merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan"

Hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara perkara yang menjadi kesukaan orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-'Araf ayat 51 tafsirnya: "Orang-orang kafir itu ialah orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)"

Hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempesonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan munkar yang terang-terang menentang kehendak hukum syarak. Apa yang lebih menyedihkan hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur munkar dan maksiat itu, contohnya pesta-pesta hiburan yang diadakan seperti sempena menyambut tahun baru masihi dan sebagainya.

Tidak dinafikan bahawa tahun masihi dijadikan tarikh utama di dalam kalendar masyarakat antarabangsa. Pada setiap tahun menjelang hendak masuk tahun baru masihi, berbagai acara sambutan secara besar-besaran diadakan oleh orang bukan Islam bagi meraikan dan membesarkan hari tersebut. Tetapi akhir-akhir ini telah didapati sesetengah masyarakat Islam juga turut meraikan awal tahun baru masihi dengan sambutan sebagaimana orang bukan Islam meraikannya.

Sebenarnya menyambut awal tahun baru masihi bukanlah budaya orang-orang Islam, dan ia bukanlah salah satu dari hari-hari kebesaran Islam sebagaimana orang-orang Islam menyambut awal tahun hijrah, Hari Maulidur Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, Isra' dan Mi'raj, puasa Ramadhan, Nuzul Al-Qur'an, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Awal tahun baru masihi hanya perayaan yang sering diraikan oleh orang bukan Islam di negara-negara barat. Ramai orang meniru perayaan itu sehingga ia berleluasa hingga ke negara-negara lain seluruh dunia. Perayaan itu turut menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam samada secara mereka sendiri atau tidak, dan jika orang Islam kurang pengetahuan agama dan leka dengan penyelinapan ini, maka sudah setentunya ia akan menjadikan satu budaya yang diamalkan oleh umat Islam sampai bila-bila. Malahan jika perkara ini dilepas pandang, ia akan semakin berakhir umbi dalam masyarakat Islam.

Bermacam-macam acara sering diadakan untuk memeriahkan kedatangan tahun baru itu. Pada malam 1 Januari, pelbagai pesta dibuat seperti pesta makan minum, diiringi dengan nyanyian, tarian dan lain-lain acara sementara menanti acara kemuncak iaitu pengiraan detik tahun baru. Apabila jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam, maka kedengaranlah teriakan dan sorak surai orang ramai tanda tahun baru sudah menjelma.

Dalam pesta yang diadakan itu, sudah setentunya banyak perkara negatif berlaku, antaranya percampuran di antara lelaki dan perempuan, terdapat bentuk hiburan yang dilarang oleh Islam dan yang tidak bersesuaian dengan akhlak Islam. Perkara-perkara yang disebutkan itu sangatlah bertentangan dengan kemuliaan Islam.

Daripada penjelasan ini, nyatalah umat Islam tidak ada kaitan langsung dengan sambutan dan perayaan seumpama itu iaitu mengalu-alukan dan membesar-besarkan kedatangan awal tahun masihi tersebut. Lebih-lebih lagi jika ia bercorak keagamaan lain daripada Islam. Oleh itu, orang Islam tidak boleh turut sama membesarkan awal tahun masihi seperti orang bukan Islam membesarkannya, kerana yang demikian itu dikhuatiri akan membawa tasyabuh (penyerupaan) terhadap mereka yang bukan beragama Islam sama ada di dalam budaya, tujuan dan akidah mereka. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: "Dari Ibni Umar Radiallahu Anhuma ia berkata, telah bersabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah sorang dari kalangan mereka" (Riwayat Al-Imam Abu Daud)

Akidah adalah perkara yang sangat penting dalam agama Islam yang mesti dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya oleh semua umat Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam kita janganlah terikut-ikut kepada perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah kita. Kita juga hendaklah berhati-hati dan berwaspada agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah Subahanahu Wata'ala.

Adapun kemurkaan Allah Subahanahu Wata'ala itu boleh mendatangkan bala bencana dan mala petaka dalam berbagai bentuk seperti bala bencana yang berupa hujan, banjir, tanah susur, ribut taufan dan sebagainya.

Bala bencana yang diturunkan adalah sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Subahanahu Wata'ala dengan tujuan sebagai ujian dan peringatan kepada hamba-hambanya khususnya yang derhaka dan ingkar terhadap perintah dan larangan Allah Subahanahu Wata'ala.

Sesungguhnya bala bencana dan mala petaka tidak semestinya ditimpakan ke atas orang yang derhaka dan berdosa, tetapi orang awam juga akan terlibat sama menerimanya jika orang awam itu tidak berusaha untuk membenteras perbuatan-perbuatan maksiat tersebut, sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dalam sebuah hadith maksudnya: "Daripada Adis bin Hatim ia berkata: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam telah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang ramai (orang awam) dengan perbuatan orang-orang yang sedikit sehingga orang ramai tadi melihat kemunkaran dihadapan mata mereka dan mereka berkuasa untuk mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Sekiranya mereka berbuat demikian, maka Allah akan menurunkan azabnya kepada orang-orang yang sedikit tadi dan orang ramai (orang awam)"

Oleh yang demikian wahai kaum muslimin, sama-samalah kita muhasabah diri, menjauhi segala bentuk maksiat dan kemunkaran serta berusaha mencegahnya agar kita semua terhindar dari kemurkaan Allah Subahanahu Wata'ala.

Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah Subahanahu Wata'ala disetiap waktu dan ketika, walau di mana kita berada iaitu dengan memperbanyakkan doa dan zikir seperti membaca Al-Qur'an, bertasbih, bertahmid, bertakbir, membaca ratib Al-Attas dan sebagainya kerana Dia dan zikir itu adalah senjata orang mukmin. Sesungguhnya Allah Subahanahu Wata'ala akan memberikan keamanan dan kesejahteraan kepada mereka yang banyak berzikir (ingat) kepada-Nya.

Oleh itu, janganlah kita terikut-ikut dengan budaya orang bukan Islam dengan meraikan apa jua perayaan dalam bentuk pesta dan hiburan yang membawa kepada perkara-perkara maksiat dan munkar. Akhirnya marilah kita muhasabah diri dengan meningkatkan keimanan iaitu dengan melakukan segala perintah Allah Subahanahu Wata'ala dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan dengan demikian kita semua terhindar dan terselamat dari kemurkaan dan segala segala bala bencana. Amin Ya Rabbal Alamin.

Rabu, 28 Disember 2011

Penyakit sepanjang tahun

MENGIMBAS isu-isu kesihatan 2011, pelbagai penyakit silih berganti yang diketengahkan Mingguan Malaysia. Akhbar ini membawa pembaca menyelami isu penyakit fizikal, mental dan sosial merangkumi panduan dan rawatan terbaru.


Ada juga pesakit yang sudi berkongsi kisah mereka berhadapan penyakit berbahaya seperti kanser hati, payu dara dan sebagainya.

Antara penyakit yang masih utama di Malaysia ialah kencing manis, kanser payu dara, demam denggi, keracunan makanan dan sakit jantung.

Tidak ketinggalan, stres, kemurungan dan bunuh diri yang semakin meningkat.

Sebagai penutup 2011, Kesihatan mengimbas beberapa isu yang telah dikupas sepanjang tahun ini.


Stres di tempat kerja

Stres boleh menjejaskan tingkah laku, fikiran, emosi, perhubungan dengan orang lain di pejabat dan rumah. Dalam pada itu, wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami stres dan kemurungan berbanding lelaki. Tidak ada sebab tertentu yang mengatakan mengapa wanita lebih berisiko tinggi stres berbanding lelaki.

Bagaimanapun, ia mungkin kerana wanita lebih mudah meluahkan perasaan dan dengan cara begini mereka cepat mendapatkan rawatan. Lelaki biasanya tidak mudah meluahkan perasaan dan ini mungkin kerana anak lelaki dididik supaya menjadi 'lelaki sejati', iaitu tidak boleh menangis dan sebagainya.


Lelaki dan prostat

Prostat sering dipandang remeh dengan alasan bahawa simptom-simptomnya hanya hanya berkaitan orang tua.

Sebanyak 98 peratus daripada keseluruhan kes prostat dikesan berlaku pada kaum lelaki yang berusia 55 tahun ke atas.

Manakala purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun.

Bagaimanapun, disebabkan kelenjar prostat mengalami pengembangan dan perubahan dari tahap baligh lagi, adalah digalakkan agar lelaki berumur 50 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kanser prostat setahun sekali.

Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat. Penyakit dan masalah yang utama adalah Benign Prostatic Hyperplasia - BPH (Pembesaran Kelenjar Prostat ) dan kanser prostat.


Bunuh diri bukan trend baru

Tidak keterlaluan andai dikatakan hampir setiap hari kes bunuh diri berlaku. Sama ada mengambil jalan drastik seperti menembak, menggantung, terjun dari tempat tinggi atau dengan mengambil ubat serta dadah berlebihan, tujuannya cuma satu - mati!

Sungguh tragik sehingga terbayang juga bagaimana mereka yang waras sampai mampu mengambil langkah sedemikian.

Tindakan membunuh diri merupakan satu keputusan dinamik dengan niat untuk menamatkan hidup yang berpunca daripada beberapa sebab.

Bunuh diri di kalangan mereka yang waras biasanya bertujuan melarikan diri daripada masalah yang ditanggung.


Stres memandu dan jantung

Kesesakan lalu lintas sememangnya tidak dapat dielakkan apatah lagi dengan pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya.

Berhadapan dengan keadaan ini boleh membuatkan tahap tekanan atau stres anda melonjak.

Selain degupan jantung yang cepat dan badan banyak berpeluh, lain-lain tanda amaran stres termasuklah loya, bernafas kencang, cirit-birit dan terasa hendak membuang air kecil, sejuk kaki dan tangan, berubah selera makan (tidak lalu makan atau makin bertambah), keinginan seks menurun, sakit-sakit badan yang tidak diketahui puncanya, tidak dapat menumpukan perhatian dan gangguan tidur.


Dilema lelaki obes

Selain kesedaran berhubung kesan obesiti pada status kesihatan dan perkembangan psikososial seseorang, berat badan berlebihan sering dikaitkan dengan gambaran negatif baik wanita mahupun lelaki.

Namun, mereka yang berusaha mendapatkan berat badan idaman dan mengekalkannya sering menemui jalan buntu.

Pada peringkat awal, gemuk atau obesiti boleh menyebabkan masalah seperti sukar berjalan, sakit belakang, sering keletihan, menjejaskan keadaan kulit dan sesak nafas.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, berat badan berlebihan ini berkecenderungan menjadi lebih teruk dengan ancaman penyakit yang boleh membawa maut.


Jejas fungsi usus

Anda menghidap sakit abdomen berulang dengan sembelit atau cirit-birit berterusan untuk tempoh beberapa tahun lamanya?

Jika jawapan ya, itu bermakna anda berhadapan dengan sindrom usus rengsa (Irritable Bowel Syndrome) yang sering diringkaskan sebagai IBS.

Walaupun sindrom itu bukan bersifat kritikal namun IBS sememangnya mengganggu aktiviti harian sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti sakit kerana sakit perut atau cirit-birit berterusan.


Bersalin dalam air

Menerusi penyebaran dokumentari dan maklumat tentang bersalin dalam air yang semakin meluas di internet, trend ini semakin mendapat perhatian orang ramai.

Kaedah bersalin dalam air sebenarnya satu perkara biasa dan popular di Amerika Syarikat dan United Kingdom sejak tahun 1980-an lagi.

Ramai yang beranggapan kaedah ini dapat memberi ketenangan kerana suhu air yang agak suam memberi kelegaan kepada sakit bersalin .


Kecelaruan personaliti

Kecelaruan identiti terpisah (DID) adalah penyakit mental yang menyebabkan pengidapnya mempunyai sekurang-kurangnya dua identiti jelas (boleh jadi lebih) atau keadaan personaliti yang berubah-ubah dalam waktu yang berlainan.

Mereka yang mempunyai masalah ini tergolong dalam masalah kecelaruan personaliti . Namun disebabkan peratusan sangat rendah iaitu sekitar 1 atau 2 peratus daripada mereka yang mengalami masalah mental secara keseluruhan, DID jarang disebut.

Rabu, 21 Disember 2011

Sikap undang padah


Penyerang Liverpool, Luis Suarez digantung lapan perlawanan selepas Suruhanjaya Disiplin Persatuan Bola Sepak (FA) England mendapati pemain itu bersalah kerana bersikap perkauman terhadap pemain Manchester United, Patrice Evra.

Penggantungan Penyerang Liverpool, Luis Suarez mengejutkan bola sepak dunia tetapi ramai lagi pemain dan pengurus yang dikenakan hukuman Persatuan Bola Sepak Inggeris.
 
Perbicaraan sejak Rabu lalu, termasuk siasatan yang mengambil masa selama sebulan memutuskan Suarez, yang turut didenda 40,000 pound (RM198,859), menghina Evra ketika perlawanan Liga Perdana yang berkesudahan 1-1 di Anfield 15 Oktober lalu.


Suarez berkata, keputusan tersebut memberi tamparan hebat kepadanya.

"Hari ini amat sukar dan memeritkan buat saya dan keluarga. Terima kasih di atas semua sokongan, saya akan terus berusaha!" kata penyerang Uruguay itu.

Sebaik perlawanan tamat, Evra membuat pendedahan mengenai Suarez yang menghinanya.

Ketika ditemubual oleh stesen televisyen Perancis, Canal Plus, Evra berkata, Suarez menghinanya sebanyak lebih 10 kali sepanjang perlawanan.

"Saya amat sakit hati. Dalam era 2011 anda tidak boleh mengeluarkan kata-kata seumpama itu. Dia tahu apa yang diperkatakan, pengadil juga tahu.

"Saya tidak akan ulang lagi apa yang telah dia katakan, tetapi ia merupakan kata-kata yang berbaur perkauman dan dia berkata lebih 10 kali. Dia cuba memancing perhatian saya. Saya tidak mahu membesar-besarkan hal ini, tetapi ia amat menyakitkan hati dan mengecewakan," kata Evra.

Suruhanjaya Disiplin FA bersetuju dengan Evra dan dalam kenyataan kepada media berkata: "Jawatankuasa Undang-Undang Bebas mendapati Luis Suarez bersalah dan dia dihukum lapan perlawanan serta didenda 40,000 pound. Pemain itu boleh mengemukakan rayuan."

Keputusan suruhanjaya itu adalah seperti berikut: "Suarez menggunakan kata-kata yang menghina Evra ketika perlawanan yang bertentangan dengan Peraturan FA E3 (1).

"Perkataan menghina itu digunakan Suarez merujuk kepada warna kulit Evra yang ada terkandung dalam Peraturan E3(2).

"Suarez diberi amaran di atas tingkah lakunya pada masa akan datang dan dia dihukum lapan perlawanan melibatkan perlawanan skuad utama dan didenda sebanyak 40,000 pound. - AFP


ERIC CANTONA - 1995

Pemain Perancis itu menyerang Matthew Simmons di Selhurst Park pada Januari 1995, selepas dikecam dari tempat duduk penyokong selepas dibuang padang.

Dia kemudiannya digantung sembilan bulan daripada aksi perlawanan seluruh dunia dan kerja komuniti selama 120 jam.


ROY KEANE - 2002

Pemain tengah Manchester United digantung lima minggu serta denda 150,000 pound pada Oktober 2002 berikutan komen terhadap Alfie Haaland dalam autobiografi penuh kontroversi bertajuk Keane: The Autobiography.


RIO FERDINAND - 2003

Pemain Manchester United itu digantung lapan bulan pada Disember 2003 selepas gagal dalam ujian dadah pada September tahun sama.

Hukuman itu menyebabkan pertahanan itu tidak dapat beraksi dalam separuh kedua kempen United dalam Liga Perdana Inggeris dan Euro 2004 mewakili England.

JOHN MACKIE – 2003

Pertahanan Reading, Mackie digantung tiga perlawanan dan tambahan lima perlawanan lagi serta didenda 3,000 pound kerana membuat komen berunsur perkauman terhadap penyerang Sheffield United, Carl Asaba. Dia menderma gaji selama dua minggu kepada pertubuhan Kick Racism Out of Football.


LUIS ARAGONES - 2005

Jurulatih Sepanyol, Luis Aragones begitupun hanya didenda 2,000 pound oleh Persekutuan Bola Sepak Sepanyol kerana membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap Thierry Henry. Jurulatih berkenaan dijangka didenda 22,000 pound atau mungkin kehilangan kerjanya. Denda berkenaan setara dengan nilai gaji sehari.

Jurulatih berkenaan bagaimanapun membuat rayuan dan menang pada 2007.


BEN THATCHER – 2006

Pertahanan Manchester City itu digantung lapan perlawanan oleh FA Inggeris dengan tambahan 15 perlawanan lagi selepas insiden yang menyebabkan Pedro Mendes tidak sedarkan diri.

Terjahan Thatcher itu menyebabkan Portsmouth dikejarkan ke hospital. City turut menggantung enam perlawanan terhadapnya dan mendendanya dengan nilai enam minggu gaji.


KOLO TOURE - 2011

Pertahanan Manchester City itu didenda dengan bayaran enam minggu gaji, sekitar 720,000 pound selepas siasatan kelab terhadap penggantungan enam bulan akibat dadah. City mendapati bekas kapten kelab itu bersalah.

Toure digantung enam bulan selepas pemain Ivory Coast itu disahkan positif mengambil bahan terlarang.

LUIS SUAREZ - 2011

Penyerang Liverpool itu digantung lapan perlawanan kerana melakukan kecaman berbentuk perkauman terhadap pertahanan Manchester United, Patrice Evra.

Suarez, yang berulang kali menafikan dakwaan itu turut didenda 40,000 pound selepas suruhanjaya tatatertib berkecuali mendapatinya bersalah kerana mengecam Evra pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, Oktober lalu.