Jumaat, 11 Jun 2010

JAPEM, YSHHB & ABDB BAIK PULIH RUMAH HAJAH INTAN

Sungai Akar, 11 Jun 2010 - Sebagai salah satu usaha pihak kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dalam memeduli golongan yang memerlukan terutama sekali mereka yang memerlukan tempat kediaman yang lebih selesa, maka satu projek bagi membaik pulih rumah kediaman Dayang Hajah Intan binti Haji Kula telah sempurna dilaksanakan.


Dayang Hajah Intan membuka tirai penyerahan rumah beliau yang telah dibaik pulih


Bantuan tenaga dan kepakaran bagi projek ini telah diungkayahkan oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-49 tahun.

Manakala bantuan kewangan telah disumbangkan oleh pihak kerajaan melalui JAPEM berjumlah $5,000.00 dan dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) berjumlah $3,710.00. Kos keseluruhan projek membaik pulih ini berjumlah $8,710.00.

Dayang Hajah Intan berusia 63 tahun, merupakan seorang balu dan merupakan penerima Pencen Umur Tua sebanyak $250.00 sebulan dari JAPEM. Beliau mempunyai seorang anak perempuan. Beliau telah menetap di rumah ini sejak tahun 1975. Pada awalnya rumah beliau dibina di atas tanah tumpang sementara (TOL), sebelum ianya dikurniakan geran tetap pada tahun 1998. Beliau pernah bekerja sebagai Penyedia Minuman di sekolah-sekolah kerajaan dan bersara tahun 2002.

Majlis penyerahan tersebut diadakan pada petang tadi bertempat di kediaman Dayang Hajah Intan bin Haji Kula, Kampong Sungai Akar. Hadir selaku Tetamu-tetamu Kehormat Majlis ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman; Pemerintah ABDB, Yang Mulia Mejar Jeneral Haji Aminudin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Siaful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pengarah Urusan YSHHB, Yang Mulia Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud.

Turut hadir Pegawai Daerah Brunei Muara, Awang Haji Jamain bin Momin; Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah; Pemangku Penghulu Mukim Berakas 'B', Pengiran Ali bin Pengiran Maon; Pegawai-Pegawai Kanan ABDB, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Pegawai-Pegawai Kanan YSHHB, Ketua-ketua Kampong di Mukim Berakas 'B' dan penduduk kampong.

Di majlis ini JAPEM juga turut menyumbangkan bantuan makanan asas kepada Dayang Hajah Intan yang disampaikan oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan