KUALA LUMPUR 22 Julai - Ada sumber mengatakan beliau kini menginap di istana hinggap Sultan Brunei di London.
Ada juga desas-desus bertiup yang bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah itu sudah kembali ke tanah air dan menetap di kediaman keluarganya di Bukit Antarabangsa, Ampang.
Namun sehingga kini, Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar terus menyepi dan belum ada kepastian di mana beliau berada.
Usaha menjejaki beliau termasuk menerusi rakan-rakan Facebooknya juga tidak berjaya apabila Azrinaz yang mesra dipanggil Naz sudah menutup akaun laman sosialnya itu yang cukup aktif sebelum ini.
Walaupun sudah sebulan perceraian bekas personaliti TV3 itu berlalu, beberapa blog termasuk dari Brunei masih membicarakan tentangnya.
Bagaimanapun tidak ada satupun maklumat yang menyatakan di mana Azrinaz berada.
Ramai yang terus meneka-neka ke mana beliau menghilang dan tidak kurang yang mengandaikan Azrinaz sebenarnya masih di Brunei.
Mungkin ada kebenarannya kerana putera beliau, Pengiran Muda 'Abdul Wakeel, 4, dan puterinya, Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 2, difahamkan masih tinggal di istana Brunei .
Sejak diceraikan dengan talak satu oleh Sultan Brunei bulan lalu, kelibat Azrinaz langsung tidak kelihatan.
Menurut rakan baiknya yang pernah bertugas bersama di TV3 satu ketika dahulu, Azrinaz masih menetap di Brunei.
Dia yang enggan namanya didedahkan memberitahu Azrinaz tidak mahu meninggalkan Brunei kerana mahu terus bersama dengan dua anaknya.
''Pihak istana memberi pilihan untuk menjaga salah seorang daripada dua anaknya dan Naz memilih anak keduanya iaitu Ameerah kerana anak sulung adalah waris Sultan Brunei,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ditanya tentang Facebook, katanya, Azrinaz telah tidak mengaktifkan akaun dalam laman sosial itu sebaik sahaja diceraikan.
Sultan Brunei, 63, diijabkabulkan dengan Azrinaz, 31, pada 20 Ogos 2005 dalam satu majlis tertutup di ibu kota.
Pasangan itu bercerai talak satu pada bulan lepas.- Utusan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan